2 kali ditipu, mangsa scam diperdaya sindiket menyamar wakil NSRC

2 kali ditipu, mangsa scam diperdaya sindiket menyamar wakil NSRC

Taktik licik menyamar wakil Pusat Respons Scam Kebangsaan itu kononnya menawarkan perkhidmatan untuk mendapatkan wang mangsa tipu.

RUSDI MOHD ISA
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Rusdi Mohd Isa berkata kes tersebut dilaporkan berlaku di beberapa negeri termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Terengganu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis mendedahkan satu modus operandi baharu sindiket menyasarkan mangsa penipuan dengan menawarkan perkhidmatan kononnya mendapatkan semula wang mereka yang telah ditipu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Rusdi Mohd Isa, berkata taktik licik itu melibatkan individu yang menyamar sebagai wakil Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) bagi memperdaya mangsa buat kali kedua.

Beliau berkata berdasarkan rekod bagi tempoh 2025 hingga Mac 2026, sebanyak enam kes telah dilaporkan melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM68,491.

Rusdi berkata sindiket itu dikesan mempromosikan perkhidmatan mereka melalui iklan di laman Facebook sebelum menghubungi mangsa menerusi aplikasi WhatsApp.

“Suspek akan mendakwa kononnya mereka mempunyai kepakaran untuk mendapatkan semula wang mangsa yang telah ditipu, namun menetapkan syarat agar mangsa membuat bayaran pendahuluan terlebih dahulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa yang terdesak dan mempercayai tawaran berkenaan kemudian diarahkan melakukan beberapa transaksi pembayaran ke akaun bank berbeza.

Bagaimanapun, mangsa terus diminta membuat bayaran tambahan tanpa menerima sebarang pemulangan wang seperti yang dijanjikan, sebelum akhirnya menyedari mereka telah ditipu sekali lagi.

Rusdi berkata kes tersebut dilaporkan berlaku di beberapa negeri termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Terengganu.

“JSJK menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak atau agensi yang boleh menjanjikan pemulangan wang mangsa penipuan dengan cara yang mudah, apatah lagi dengan mengenakan sebarang bayaran perkhidmatan,” katanya.

Beliau turut menyeru individu yang menjadi mangsa penipuan untuk segera menghubungi talian NSRC di 997 atau tampil membuat laporan di balai polis berhampiran bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.