Amanah bukan alat DAP, kata Mat Sabu

Amanah bukan alat DAP, kata Mat Sabu

Presiden Amanah itu berkata memenangi undi Melayu adalah cabaran terbesar parti itu.

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata sudah masuk dalam pemikiran orang Melayu bahawa Amanah adalah alat DAP. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata cabaran paling besar parti itu adalah untuk mendapatkan sokongan orang Melayu dan cuba mengubah persepsi bahawa Amanah adalah alat DAP.

Dalam satu wawancara dengan Sinar Harian, Mohamad berkata stigma negatif terhadap DAP itu menyebabkan orang Melayu percaya mereka yang bekerjasama dengan parti tersebut dianggap musuh Melayu dan Islam.

Katanya, perkara itu juga berlaku pada Umno yang menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan.

“Cabaran paling besar adalah mendapatkan sokongan orang Melayu kerana sudah masuk dalam pemikiran orang ramai terutama orang Melayu, Amanah ini macam alat DAP.

“Sekarang Umno pula dituduh alat DAP,” katanya dalam wawancara tersebut.

Bagaimanapun, Mohamad berkata PAS sering berubah pendirian dan parti Islam itu juga pernah bersama dengan DAP dalam pilihan raya 2008 dan 2013.

“Dan apabila tidak bersama, (mereka tuduh) DAP komunis, nak rampas hak Melayu dan pelbagai lagi.

“Jadi serangan-serangan itu masuk dalam pemikiran orang Melayu dan menyebabkan kita nak rungkai fahaman atau stigma itu amat sukar,” katanya.

Tambahnya, ketika ini sesiapa yang bekerjasama dengan DAP dianggap sebagai musuh Melayu dan Islam, tetapi Mohamad berkata, ia satu perkara itu yang perlu dihadapi Amanah dengan kesabaran, istiqamah dan perlu diberi penjelasan yang panjang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.