JAS Kedah siasat punca sisa klinikal tabur di lebuh raya

JAS Kedah siasat punca sisa klinikal tabur di lebuh raya

Pengarah JAS Kedah berkata sisa klinikal hanya dibenarkan diangkut kenderaan pengangkut berdaftar dan dilupuskan di premis dilesenkan JAS.

Picagari, jarum terpakai dan kit ujian terpakai antara sisa klinikal yang bertaburan di KM92.9 Lebuhraya Utara Selatan. (Gambar Facebook)
SUNGAI PETANI:
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah sedang menyiasat bagi mengesan punca sisa klinikal bertaburan di KM92.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Sabtu lalu.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata pelupusan sisa klinikal hanya dibenarkan di premis dilesenkan JAS dan hanya kenderaan pengangkut berdaftar dengan jabatan itu dibenarkan mengangkutnya.

“Pada 9 Dis lepas (Sabtu), JAS Kedah menerima pemakluman daripada pihak PLUS berkaitan penemuan sisa klinikal bertaburan di KM92.9 Lebuhraya Utara Selatan dari arah Gurun ke Sungai Petani.

“Siasatan mendapati satu tong sisa klinikal dengan kandungannya bertaburan di situ. Punca kejadian masih dalam siasatan memandangkan kenderaan pengangkut yang berdaftar dengan JAS saja dibenarkan mengangkut buangan ini dan pelupusan hanya dibenarkan di premis dilesenkan JAS,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, antara kandungan dijumpai ialah picagari, jarum terpakai, kit ujian terpakai serta beberapa lagi buangan sisa klinikal.

“Kerja pembersihan dibuat PLUS dan sisa buangan itu dihantar ke stor Buangan Terjadual di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sebelum diangkut untuk dilupuskan di premis dilesenkan JAS.”

Katanya, buangan sisa klinikal itu merupakan buangan sisa terjadual bawah Kod SW 404 dan pengurusannya dikawal bawah Peraturan Kualiti Alam (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Pengendali dan pengangkut perlu berhati-hati serta mengikut semua prosedur operasi standard kerana sisa klinikal tidak terawat mengandungi pelbagai patogen yang boleh tersebar dan membahayakan kesihatan.

“Sekiranya ternampak sisa klinikal, orang awam dinasihatkan tidak menghampirinya dan melaporkan kepada JAS dengan segera.”

Beliau berkata, pihaknya juga akan mengeluarkan peringatan kepada semua fasiliti seperti klinik dan hospital untuk memastikan sisa buangan hanya diberikan kepada kenderaan berlesen dengan JAS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.