
Ketua Polis Serdang, A A Anbalagan, berkata sembilan rumah itu terletak berhampiran kawasan bencana.
“Penghuni di kediaman berkenaan diarah berpindah sebagai langkah keselamatan kerana bimbang berlaku lagi pergerakan tanah.
“Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 7.30 malam tadi susulan hujan lebat sekitar 5.45 petang hingga 7.30 malam menyebabkan berlaku pergerakan tanah,” katanya menurut Harian Metro dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, kejadian itu turut menyebabkan empat kenderaan tertimbus namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
“Empat kenderaan tertimbus masing-masing sebuah Honda Jazz, Nissan Skyline, Honda City dan Naza Citra.
“Setakat ini semua sembilan kediaman itu sudah dikosongkan. Satu keluarga terdiri daripada lapan orang berpindah sementara ke PPS dewan serbaguna MBSJ manakala yang lain menumpang di rumah saudara masing-masing.
“Kita turut membuka pusat kawalan tempat kejadian (PKTK) di Jalan Wawasan 3/9 dan pemantauan di lokasi akan terus dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya.
Katanya, selain polis beberapa agensi turut melakukan pemantauan dan kawalan di lokasi termasuk bomba, Jabatan Kejuruteraan MBSJ, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).