
Seramai 5,093 mangsa banjir daripada 1,622 keluarga berlindung di 16 pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas dan Tanah Merah pagi ini berbanding 4,840 orang malam tadi.
Harian Metro memetik portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan 4,969 mangsa ditempatkan di 15 PPS di Pasir Mas dan sebuah PPS di Tanah Merah menempatkan 124 mangsa.
Laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya 10.08m dan Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat melepasi paras waspada 2.32m.
Di Terengganu, jumlah mangsa banjir menurun kepada 812 orang daripada 80 keluarga di 10 PPS di Setiu, Dungun dan Marang setakat 8 pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu melaporkan 583 orang daripada 147 keluarga ditempatkan di enam PPS di Dungun.
Di Marang, tiga PPS di Dewan Sivik Wakaf Tapai, Sekolah Kebangsaan Pengkalan Berangan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang menempatkan 179 mangsa banjir daripada 22 keluarga.
Di Setiu, 50 penduduk membabitkan 11 keluarga berlindung di Surau Kampung Nyatoh.
Laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan hanya Sungai Nerus di Kampung Jeram, Kuala Nerus melepasi paras waspada 2.2m.
Paras air di kebanyakan sungai utama di Terengganu menunjukkan trend penurunan, walaupun masih mencatatkan bacaan melepasi paras normal.