Tersedak susu di rumah pengasuh, bayi 4 bulan maut

Tersedak susu di rumah pengasuh, bayi 4 bulan maut

Ketua Polis Putrajaya A Asmadi Abdul Aziz, berkata pengasuh itu tidak mempunyai lesen serta sijil sah daripada JKM.

Bayi itu disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya kira-kira 3 petang.
PETALING JAYA:
Bayi lelaki berusia empat bulan maut selepas dirawat akibat tersedak susu dalam kejadian di rumah pengasuh tidak berlesen, di Putrajaya.

Ketua Polis Putrajaya A Asmadi Abdul Aziz, berkata ketika kejadian pengasuh berusia 52 tahun itu turut menjaga empat bayi dan kanak-kanak berumur lingkungan empat bulan hingga tiga tahun, termasuk mangsa.

Katanya, mangsa dikatakan tersedak sebelum pengasuh menepuk dan menggosok belakang bayi itu. Menurut pengasuh, dia memberi minum susu dengan posisi yang betul di mana posisi badan mangsa diletakkan dalam keadaan 45 darjah.

“Mangsa bagaimanapun didapati dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum pengasuhnya itu menghubungi ibu bapa mangsa serta ambulans sementara diberi bantuan pernafasan,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, pihak hospital yang tiba memberi bantuan pernafasan sebelum bayi yang tidak sedarkan diri itu dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya.

Bagaimanapun, bayi itu disahkan meninggal dunia kira-kira 3 petang, semalam.

“Semakan dijalankan mendapati pengasuh terbabit tidak mempunyai lesen serta sijil yang sah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Asmadi berkata, kes masih disiasat dan diklasifikasi di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 6 (1) Akta Taman Asuhan 1984.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.