
Mohamad berkata beliau hanya menganggap ia adalah sekadar seruan biasa yang dilontarkan oleh PAS, tanpa menyedari mereka sendiri pernah bekerjasama dengan DAP.
Katanya, tiada sebab untuk Amanah berbuat demikian dan apa yang dilakukan parti itu adalah langkah sama yang pernah diambil PAS.
“Kami mengikut jejak langkah PAS bersama DAP sebelum ini. Itu seruan biasa yang kita tidak mahu layan, sebab PAS sendiri pernah bekerjasama dan memuji DAP ‘ke langit’ sebelum 2013,” katanya pada sidang media sempena Konvensyen Amanah kali ke-8, hari ini.
Terdahulu, FMT yang memetik Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata Amanah harus tinggalkan sekutunya DAP sekiranya mahu bekerjasama, sebagai membalas syarat yang ditetapkan oleh Naib Presiden Amanah Adly Zahari.
“Terima kasih kerana dia buka pintu untuk kerjasama dengan PAS cuma kalau dia meletak syarat, rasanya kita pun boleh letak syarat bahawa kita sedia bekerjasama tapi Amanah kena tinggal DAP,” katanya.
Adly pada sidang media di Konvensyen Wanita Amanah pada Jumaat berkata partinya sedia bekerjasama dengan PAS dalam kerajaan perpaduan, tapi ia perlu kikis “naratif 3R” (agama, raja, dan kaum).
Oktober lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata beliau pernah menjemput PAS menyertai kerajaan perpaduan pada tahun lalu namun tawaran itu ditolak parti berkenaan.
Dalam temu bual bersama Time Magazine pada 11 Okt, pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut menyatakan pintu untuk PAS menyertai kerajaan perpaduan masih terbuka dengan syarat parti itu perlu menerima Malaysia sebagai negara berbilang agama, meskipun Islam sebagai agama persekutuan.