Polis tahan ketua sindiket dadah bergelar ‘Datuk’

Polis tahan ketua sindiket dadah bergelar ‘Datuk’

Ketua NGO itu dan sembilan lagi ditahan kerana disyaki terlibat sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah.

Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata sindiket berkenaan dipercayai terlibat secara aktif dalam kegiatan pengedaran dadah jenis syabu sejak 2015. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang ketua NGO bergelar ‘Datuk’ ditahan kerana dipercayai mengetuai sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah.

Penahanan suspek berusia 40 tahun bersama sembilan lagi dibuat dalam operasi khas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) semalam sekitar Kota Kinabalu, Tawau serta Semporna.

Kesemua suspek termasuk ketuanya berusia lingkungan 36 hingga 48 tahun.

Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata suspek ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), yang kali pertama digunakan bagi kes dadah yang lazimnya dibuat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Menurutnya, tindakan itu diambil kerana sukar mengaitkan ketua terbabit dengan sindiket berkenaan kerana modus operandinya yang sering bertukar.

“Kita buat banyak tangkapan ahli tetapi sukar bertindak terhadap ketuanya kerana pembuktian di bawah 39B (Akta Dadah Berbahaya) agak tinggi.

“Ketuanya tidak terbabit secara langsung dan modus operandinya sering bertukar…jadi sukar untuk membuktikan peranannya dalam sindiket,” katanya pada sidang media.

Suspek yang ditahan termasuk seorang pegawai penguatkuasa dan pengarah urusan rangkaian restoran didakwa mengendalikan kewangan sindiket terbabit yang dipercayai aktif sejak 2015.

Aset dirampas termasuk feri, restoran, banglo, kereta mewah dan 12 syarikat berkaitan pelancongan, pembuatan serta minyak dan gas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.