Kereta bertembung treler, 2 termasuk 1 rentung dalam nahas

Kereta bertembung treler, 2 termasuk 1 rentung dalam nahas

Sebuah Perodua Kancil dipercayai bertembung dengan treler, mengakibatkan kereta terbabit terputus dua serta terbakar.

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta dalam kemalangan dengan sebuah treler di Pekan, Pahang malam tadi. (Gambar JBPM)
KUANTAN:
Dua individu maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah treler berhampiran Kampung Sungai Miang, Pekan malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.22 malam sebelum sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba Pekan dan Nenasi bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata kejadian melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Kancil dipercayai bertembung dengan treler dan mengakibatkan kereta terbabit terputus dua serta terbakar.

“Seorang mangsa lelaki dipercayai pemandu kereta itu tercampak keluar dari kenderaan berkenaan, manakala mangsa wanita tersepit dan terbakar di dalam kereta itu,” katanya dalam kenyataan.

Kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala pemandu treler terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden berkenaan, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.