Jumlah mangsa banjir terus turun kepada 16,919

Jumlah mangsa banjir terus turun kepada 16,919

Jumlah itu berkurangan berbanding 20,036 orang yang dicatatkan petang tadi.

Jumlah mangsa banjir di empat negeri menunjukkan penurunan kepada 16,919 orang berbanding 20,036 orang petang tadi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jumlah mangsa banjir di empat negeri yang berlindung di 70 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 malam tadi terus menunjukkan trend penurunan kepada 16,919 orang berbanding 20,036 orang di 82 PPS petang tadi.

Berdasarkan laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), mangsa banjir di Pahang yang berlindung di enam PPS di daerah Bera, Maran dan Temerloh berkurangan kepada 120 orang berbanding 214 orang pada sebelah petang.

Selain itu, jumlah mangsa yang ditempatkan di sebuah PPS yang dibuka ekoran kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands masih kekal 87 orang daripada 17 keluarga.

Kelantan kekal sebagai negeri paling teruk terjejas banjir namun mencatatkan perkembangan positif dengan mangsa yang ditempatkan di 42 PPS di empat daerah berkurangan kepada 15,882 orang berbanding 17,950 orang di 46 PPS petang tadi.

Daerah yang terjejas ialah Jeli, Kuala Krai, Pasir Mas dan Tumpat.

Keadaan sama di Terengganu di mana jumlah mangsa yang berlindung di 20 PPS di daerah Dungun, Kuala Terengganu dan Marang terus berkurangan kepada 862 orang berbanding 1,817 orang di 24 PPS petang tadi.

Jumlah mangsa banjir yang berlindung di dua PPS di Segamat, Johor malam ini kekal 55 orang daripada 15 keluarga.

Tinjauan status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran menunjukkan Sungai Kelantan di Kota Bharu, Jeli dan Gua Musang serta Sungai Golok di Tanah Merah dan Pasir Mas berada pada paras bahaya.

Turut berdepan situasi sama ialah Sungai Perak, Sungai Arau dan Sungai Dungun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.