
Berdasarkan laporan terkini bencana di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Kelantan kekal mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi, iaitu 13,529 orang yang ditempatkan di 38 PPS di empat daerah.
Di Pasir Mas, 20 PPS dibuka menempatkan 9,449 mangsa daripada 3,112 keluarga, 10 PPS di Tumpat (3,239 mangsa daripada 1,145 keluarga), empat PPS di Kuala Krai (90 mangsa daripada 21 keluarga) dan empat PPS di Jeli membabitkan 751 mangsa daripada 199 keluarga setakat 12 tengah hari tadi.
Di Terengganu, jumlah mangsa berkurangan kepada 659 orang daripada 181 keluarga di sembilan PPS tengah hari tadi di Dungun dan Kuala Terengganu berbanding 735 orang daripada 199 keluarga pagi tadi.
Di Johor, jumlah mangsa banjir kekal 55 orang daripada 15 keluarga yang masih ditempatkan di dua PPS di daerah Segamat setakat tengah hari tadi.
Di Pahang, mangsa banjir meningkat sedikit kepada 145 mangsa daripada 40 keluarga berbanding 138 mangsa daripada 39 keluarga pagi tadi yang ditempatkan di enam PPS di Bera, Maran dan Temerloh.
Sementara itu, laporan itu juga memaklumkan jumlah mangsa insiden tanah runtuh di Cameron Highlands kekal 87 orang daripada 17 keluarga yang masih berlindung di sebuah PPS di daerah itu.
Bagi tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran, tiga sungai di Kelantan, iaitu Sungai Golok di Pasir Mas, Sungai Golok di Tanah Merah dan Sungai Kelantan di Jeli berada di paras bahaya setakat tengah hari tadi.
Dua sungai di Terengganu, iaitu Sungai Terengganu di Kuala Terengganu dan Sungai Dungun di Dungun; masing-masing satu di Perak, iaitu Sungai Perak, Hulu Perak dan Sungai Arau, Arau di Perlis juga berada pada paras bahaya.
Menurut laporan itu, 47 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak/runtuh dan tanah runtuh.
Antaranya, Jalan Jabi-Bukit Tempurung, Segamat (Johor), Jalan Jeli-Dabong (Kelantan), Jalan Bukit Besi-Dungun (Terengganu) dan Jalan Kuala Lumpur-Bentong (Jalan Lama Bentong) di Pahang serta Jalan Bukit Kayu Hitam-Bukit Tangga Sintok, Kedah.