
Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Fadillah Yusof berkata beliau tidak pernah dengar mengenai cubaan menggulingkan kerajaan semasa dan Ahli Parlimen GPS “tiada masa melayan drama politik” kerana memfokuskan ekonomi negara.
“Saya tidak tahu. Apa yang pasti ialah GPS berulang kali mengulangi keutamaan kami ialah mempunyai kerajaan stabil dan kukuh.
“Kami mahu fokus semua usaha atas pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya dipetik Borneo Post.
Hari ini, media melaporkan dakwaan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Ismail Yusop wujud “Langkah Dubai” membabitkan pertemuan pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan dari blok kerajaan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.
Beliau mendakwa pertemuan untuk menumbangkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim itu turut membabitkan tokoh politik veteran berpengaruh yang berpangkat Tun menggunakan dana asing.
Pertemuan itu didakwa bertujuan membahagikan tugas kepada “ejen” untuk mengenal pasti Ahli Parlimen yang boleh menukar sokongan kepada pembangkang bagi membentuk kerajaan baharu.
Timbul juga dakwaan PBB ditawarkan jawatan perdana menteri dan autonomi tambahan, termasuk sehingga 20% royalti minyak buat Sarawak.
Seorang lagi Ahli Parlimen GPS, Nancy Shukri menepis dakwaan beliau dan wakil rakyat PBB lain memberi sokongan kepada “Langkah Dubai”.
Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu berkata beliau tidak pernah dengar mengenai “Langkah Dubai”.