Adakah miskin tegar sudah dinoktahkan, pemimpin PAS tanya Putrajaya

Adakah miskin tegar sudah dinoktahkan, pemimpin PAS tanya Putrajaya

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mahu Putrajaya menjelaskan sama ada matlamatnya yang disuarakan berulang kali sudah dicapai tahun lalu.

Anwar Ibrahim pada Jun lalu mengarahkan semua jentera kerajaan bekerjasama membasmi kemiskinan tegar pada 2023.
PETALING JAYA:
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menggesa kerajaan menjelaskan sama ada matlamatnya membasmi kemiskinan tegar tahun lalu sudah dicapai.

Katanya, Putrajaya perlu memberi penjelasan kerana ia berulang kali menyuarakan keyakinan dapat membasmi kemiskinan tegar pada 2023.

“Hari ini 1 Jan 2024, adakah tidak wujud lagi miskin tegar di Malaysia? Kerajaan dimohon perjelaskan,” soalnya dalam catatan Facebook malam ini.

Jun lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, beliau mahu semua jentera kerajaan bekerjasama membasmi kemiskinan tegar pada 2023.

Beliau mengulangi ikrar kerajaan itu ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat pada 11 Sept lalu.

“Sehingga 15 Ogos 2023, kerajaan masih bertungkus lumus menyelamatkan hampir 114,000 keluarga miskin tegar daripada cengkaman kemiskinan,” katanya di Dewan Rakyat pada 11 Sept lalu.

Dua hari kemudian, bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin menyuarakan keraguan terhadap matlamat kerajaan dan mempersoalkan sama ada garis kemiskinan yang digunakan kerajaan masih realistik susulan inflasi dan kenaikan kos sara hidup.

Pada 22 Dis lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dilaporkan berkata, negeri itu berjaya mencapai sasaran sifar miskin tegar membabitkan 3,530 ketua isi rumah.

Katanya, Seremban daerah terakhir mencapai “sifar kemiskinan tegar” dengan 922 ketua isi rumah di bawah kategori “miskin” sekarang.

Miskin tegar merujuk isi rumah berpendapatan bulanan kurang daripada RM1,169, manakala “miskin mutlak” berpendapatan kurang daripada RM2,208.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.