Ahli Parlimen harus lebih faham dasar awam, kata Pua

Ahli Parlimen harus lebih faham dasar awam, kata Pua

Tony Pua berkata, kumpulan Ahli Parlimen semasa bukan dipilih berdasarkan kepakaran mereka dalam dasar awam, 'masalah tipikal' dalam demokrasi.

Tony Pua berkata, Ahli Parlimen pembangkang semasa ‘tidak mempunyai isi kukuh’ ketika berbahas dalam Dewan Rakyat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Wakil rakyat mesti mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang dasar awam, kata seorang bekas Ahli Parlimen DAP.

Tony Pua berkata, kumpulan Ahli Parlimen semasa bukan dipilih berdasarkan kepakaran mereka dalam dasar awam, memandangkan ia bukan antara kriteria dipertimbangkan ketika mengundi.

Menurut Pua, ini merupakan “masalah tipikal” dalam demokrasi.

Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen tiga penggal itu berkata, cara wakil rakyat dipilih tidak perlu diubah.

“Sebaliknya, Ahli Parlimen perlu lebih memahami dasar awam dan mahir dalam isu yang dibahaskan,” katanya dalam episod terbaru audio siar “Are We Ok”, yang dihoskan oleh bekas Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming.

“Sesiapa sahaja yang diundi perlu mendidik diri mereka tentang dasar awam, ekonomi, sains, dan mana-mana bidang yang mereka minati.”

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ong tentang bagaimana penyokong kerajaan boleh memainkan peranan yang lebih berkesan dari segi menjadi Ahli Parlimen yang bertanggungjawab dari perspektif dasar.

Pua turut membidas Ahli Parlimen Pembangkang, yang menurutnya “tidak mempunyai isi kukuh” ketika berbahas dalam Dewan Rakyat.

“Topik dan isu mereka selalu hanya satu dimensi, sentiasa mengenai kaum, agama, alkohol, atau pemakaian,” katanya.

Pua berkata, pentadbiran negara melibatkan banyak perkara selain empat isu ini, namun pembangkang terus memainkannya.

Sebaliknya, katanya, perbahasan Ahli Parlimen Pakatan Harapan, ketika menjadi pembangkang, lebih berisi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.