
Penduduk sepatutnya dipindahkan ke kuarters kerajaan sebelum akhir Disember, namun masih ‘tersadai’ di sebuah dewan lebih 80 hari.
Ketua Kampung Orang Asli Sungai Ruil Long Siang, berkata pihaknya dimaklumkan kelewatan berpindah itu kerana kerja baik pulih kuarters transit lambat bermula.
“Kami masih di pusat pemindahan sementara di Dewan Kampung Sungai Ruil, setakat ini kami masih belum berpindah ke kuarters kerajaan sementara menunggu kediaman asal kami selamat untuk didiami semula.
“Pihak kami dimaklum akan berpindah bulan ini, bagaimanapun tarikh belum diberitahu bila…kami dimaklumkan disebabkan pihak tertentu lambat memberi kebenaran kepada kontraktor untuk memulakan kerja baik pulih,” katanya kepada FMT tanpa menyalahkan mana-mana pihak.
Long berkata, penduduk bagaimanapun akur dengan kelewatan tersebut dan memahami mungkin ada “kekangan tertentu” yang berlaku dan berharap proses pemindahan dapat disegerakan.
“Kami harap sungguh dapat berpindah dengan kadar segera,” katanya sambil menghargai layanan pihak berwajib cukup baik, cuma keadaan bercampur dalam jumlah ramai menimbulkan rasa kurang selesa.
Sementara itu, senator mewakili Orang Asli, Ajis Sitin, merayu kerajaan mempercepat proses pemindahan kerana keadaan di dewan kurang selesa.
“Cuma mereka kurang selesa dari segi tandas, tempat membasuh pakaian dan sebagainya, malah terdapat juga orang tua berkerusi roda jadi di dewan itu tidak sesuai untuk mereka diletakkan dalam tempoh lama,” katanya.
Ketika ini, seramai 89 penduduk dari 17 rumah masih ditempatkan di dewan orang ramai selepas diarahkan mengosongkan kediaman susulan kediaman diancam tanah runtuh, pada 12 Okt lalu.
Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memaklumkan 17 keluarga Orang Asli di Sungai Ruil, Cameron Highlands yang terjejas tanah runtuh akan ditempatkan di kuarters kerajaan dan badan berkanun berhampiran.
Menurutnya, mangsa akan ditempatkan di sana selepas isu berkaitan kemudahan seperti penyambungan bekalan air dan elektrik selesai.