
Namun di Genting Highlands, pengurusan cerun bukan isu bermusim tetapi satu usaha berterusan sepanjang tahun, dibentuk oleh bentuk muka bumi pergunungan yang curam serta corak cuaca yang semakin tidak menentu.
Ia melibatkan pemantauan berterusan, penyelenggaraan pencegahan dan tindak balas pantas, yang kebanyakannya berlaku di sebalik tabir sambil memastikan jalan raya kekal dibuka dan selamat untuk orang awam.
Naib Presiden Kanan Utiliti dan Pengurusan Fasiliti Resort Kumpulan Genting Malaysia, Lee Chee Hoe, berkata kumpulan itu menguruskan ratusan insiden berkaitan cerun setiap tahun, kebanyakannya kecil tetapi ada yang memerlukan kerja pemulihan intensif.
Mengurus risiko sebelum ia menjadi serius
Walaupun kegagalan cerun boleh berlaku pada bila-bila masa, risikonya meningkat dengan ketara semasa musim monsun. Ini khususnya melibatkan cerun yang mempunyai kecerunan melebihi 25 darjah dan 35 darjah. Dari segi teknikal, ia dikenali sebagai cerun Kelas III dan Kelas IV.
Di cerun seperti itu, hujan lebat boleh dengan cepat membebankan saluran perparitan semula jadi, meningkatkan tekanan dalam tanah dan melemahkan kestabilan cerun.
Lee berkata kerja penyelenggaraan dilakukan secara berkala bagi membendung isu kecil sebelum ia menjadi lebih serius.
Sistem perparitan dibersihkan secara berkala bagi memastikan air hujan disalurkan dengan cekap, manakala langkah turut diambil untuk mengurangkan risiko pokok tumbang yang boleh mencetuskan pergerakan tanah.

“Perparitan adalah penting untuk membolehkan air mengalir ke kawasan yang boleh dialihkan dengan selamat. Tanpa perparitan yang betul, jumlah air yang besar akan mengalir ke kawasan yang tidak sepatutnya, dan itu boleh menolak tanah serta tumbuh-tumbuhan ke atas,” katanya.
“Apabila hujan sangat lebat, anda boleh melihatnya mengalir seperti air terjun. Sebab itu perparitan yang betul amat penting untuk memastikan cerun kekal selamat,” tambahnya.
Lee berkata langkah pencegahan turut diperkukuh melalui penggunaan teknologi seperti tolok hujan yang menjejak intensiti hujan, serta inklinometer dan paip pemerhatian (standpipe) yang memantau pergerakan tanah dan tekanan air pada cerun.
Rondaan keselamatan sepanjang masa dan pemantauan menggunakan dron yang membantu mengesan tanda amaran awal turut dijalankan.
Beliau menambah prosedur operasi standard yang jelas menjadi panduan tindak balas apabila insiden berlaku.
Lorong terjejas mungkin ditutup dan laluan kontra aliran diaktifkan, manakala pasukan cerun dan jurutera menilai tahap keseriusan serta menentukan intervensi yang diperlukan.
Kerja berkos tinggi di kawasan mencabar
Penyelenggaraan cerun di kawasan pergunungan adalah berkos tinggi dan mencabar dari segi teknikal, khususnya di cerun curam di mana kerja sering perlu diteruskan dalam keadaan basah.
Lee berkata Genting Malaysia membuat pelaburan besar sejak beberapa tahun lalu untuk menaik taraf infrastruktur perparitan, sistem pemantauan dan kerja-kerja pemulihan cerun, dengan bergantung kepada kontraktor berpengalaman serta jentera khas.
“Kosnya mencecah jutaan ringgit. Bagi insiden besar, kerja pemulihan di satu lokasi sahaja boleh mencapai angka enam digit, dan apabila berdepan 100 atau 200 insiden, jumlah keseluruhan dengan mudah boleh mencecah jutaan atau malah puluhan juta ringgit.

“Kami melabur banyak dalam kerja pemulihan untuk memastikan keselamatan.
“Tanpa berbuat demikian, kami tidak akan tahu sama ada keselamatan benar-benar terjamin. Ini adalah kos berterusan yang perlu ditanggung setiap tahun,” katanya.
Pengalaman di lapangan
Memastikan Genting Highlands dan kawasan berbukitnya selamat adalah tugas yang kompleks dan berterusan, yang sering tidak disedari orang ramai.
Lee berkata pendekatan pengurusan cerun Genting Malaysia disokong oleh pengalaman puluhan tahun membangunkan dan menyelenggara Jalan Genting Highlands di atas tanah miliknya sendiri.
Ia memberikan kumpulan itu kefahaman terperinci tentang bagaimana bentuk muka bumi bertindak balas terhadap perubahan cuaca.
“Sejarah memberitahu kami bahawa apabila jumlah hujan melepasi paras tertentu, terdapat kawasan yang perlu kami pantau dengan lebih dekat,” katanya.
Beliau berkata kaedah penstabilan berbeza mengikut tahap keseriusan. Hakisan kecil ditangani melalui pemeriksaan diagnostik, perlindungan permukaan seperti tikar gentian dan ‘hydroseeding’ bagi memulihkan vegetasi.
Kes yang lebih serius memerlukan penilaian oleh jurutera geoteknikal dan mungkin melibatkan sistem paku tanah, struktur penahan atau penambahbaikan sistem perparitan.
Lee berkata keselamatan kekal menjadi keutamaan bukan sahaja untuk pengguna jalan raya, tetapi juga bagi pekerja yang menguruskan cerun.
“Pengurusan cerun bukanlah mudah, dan saya benar-benar memuji pasukan ini. Saya menggelar mereka wira di gunung ini,” katanya.
Keselamatan tanggungjawab bersama
Lee berkata Genting Malaysia turut membantu di kawasan di luar tanah miliknya apabila berlaku kegagalan cerun, pokok tumbang atau tanah runtuh yang menjejaskan jalan-jalan lain di kawasan tanah tinggi itu.
“Tidak semua hartanah di Genting Highlands milik kami, tetapi jika sesuatu berlaku berhampiran dan kami boleh membantu, kami akan berbuat demikian,” katanya.
Merujuk kepada tragedi tanah runtuh Batang Kali pada 16 Dis 2022 yang mengorbankan 31 nyawa, termasuk 13 kanak-kanak, dan mencederakan 61 yang lain, Lee berkata pasukan tindak balas syarikat adalah antara yang terawal bertindak kerana ia paling hampir dengan kawasan terjejas.
Beliau berkata Genting Malaysia mengerahkan tenaga kerja, jentera dan kontraktor yang sedia berada berhampiran kawasan itu, sambil bekerjasama dengan pihak berkuasa.
“Kami juga membantu dalam operasi menyelamat. Pasukan kami berada di lokasi untuk menyediakan tempat perlindungan dan makanan. Ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab korporat kami,” katanya.
Lee berkata insiden itu menunjukkan pentingnya pencegahan dan pengurusan awal. Dengan perubahan iklim yang mendorong corak cuaca yang semakin tidak menentu serta hujan lebat, beliau menegaskan bahawa keselamatan cerun memerlukan pemantauan berterusan dan tindak balas pantas.
“Sebab itu kami melabur besar dalam pemantauan, tenaga kerja dan kesiapsiagaan, bagi memastikan insiden dapat ditangani dengan segera dan tidak menjadi lebih buruk. Keselamatan bukan hanya tentang hartanah kami, tetapi tentang melindungi semua orang di kawasan tanah tinggi,” tambahnya.