SPRM panggil bekas PM, pegawai dalam masa terdekat

SPRM panggil bekas PM, pegawai dalam masa terdekat

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata sekurang-kurangnya empat daripada mereka akan dipanggil.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata bekas perdana menteri akan dipanggil berkait siasatan dakwaan penggunaan dana RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Seorang bekas perdana menteri dan bekas pegawainya akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat untuk membantu siasatan dakwaan penyelewengan dana kerajaan bernilai jutaan ringgit.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata sekurang-kurangnya empat daripada mereka akan dipanggil.

“Perdana menteri dan bekas pegawainya. Saya tidak mempunyai jumlah berapa banyak tetapi tidak kurang daripada empat orang,” katanya ketika ditemui selepas Simposium Tatakelola Baik Nasional 2024.

Sebelum ini, SPRM mengesahkan pihaknya menyiasat proses dan tatacara perbelanjaan kerajaan antara tempoh 2020 hingga 2022, berkait dakwaan penggunaan dana RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan membelanjakan hingga RM700 juta untuk pengiklanan, promosi dan publisiti bagi menghebahkan agenda kerajaan bagi tempoh berkenaan.

Perbelanjaan itu digunakan dua pentadbiran terdahulu dalam menguar-uarkan pencapaian dan usaha kerajaan.

Dalam pada itu, Azam berkata pihaknya akan menyiasat perbelanjaan wang daripada dana tersebut.

“Yang pentingnya kita nak tengok bagaimana duit itu dibelanjakan…dan syarikat-syarikat mana yang dapat. Kita telah panggil (pihak) syarikat terlibat,” katanya.

Sementara itu, berhubung kes Aman Palestin, Azam berkata pihaknya masih menyiasat wang yang dibelanjakan.

“Ini termasuk syarikat-syarikat ditubuhkan dan bagaimana, betul atau tidak wang itu dihantar ke pihak bukan Palestin.

“Bagaimana ia dihantar…ini jadi persoalan kepada pegawai-pegawai penyiasat. Sekiranya ada isu yang tidak betul kita akan cadang pertuduhan kepada pihak pendakwa raya,” katanya.

SPRM sebelum ini membekukan 41 akaun bank milik Aman Palestin dan beberapa entiti lain berjumlah RM15.8 juta susulan siasatan ke atas dakwaan penyalahgunaan dana sumbangan berjumlah RM70 juta.

Kes itu disiasat mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 serta Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.