
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Hazani Ghazali berkata 10 warga asing dan dua lelaki tempatan itu, ditahan sepasukan polis daripada Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) dalam operasi pada Selasa lalu.
Polis turut merampas 18 lori tangki minyak, 16 tangki skid yang setiap satu dianggarkan mengandungi 2,000 hingga 114,640 liter minyak diesel, 14 pam minyak dan dua buku stok keluar masuk minyak diesel.
“Kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya menurut laporan Bernama.
Sementara itu, Hazani berkata bagi tempoh 1 hingga 10 Jan tahun ini, WCB/PSK melancarkan 13 serbuan dengan jumlah nilai rampasan dianggarkan bernilai lebih RM39.25 juta, dan telah menahan 40 individu.
Beliau berkata polis komited bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, dalam memerangi penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi untuk memastikan hasil negara sentiasa dilindungi daripada ketirisan.
“Kerjasama orang ramai dalam penyaluran maklumat kepada pihak berkuasa amatlah digalakkan, agar kegiatan jenayah dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya.