
Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat Rasyidah Azmi Kalai memaklumkan perkara itu dalam prosiding sebutan semula bagi mengetahui keputusan representasi dihantar Azlan, pada 9 Nov tahun lalu.
“Prosiding hari ini untuk memaklumkan keputusan representasi…bagi pengetahuan mahkamah representasi itu sudah diterima ditaklimatkan kepada Jabatan Peguam Negara.
“Namun demikian, representasi itu ditolak,” katanya menurut Berita Harian.
Noralis berkata, mahkamah sebelum ini sudah menetapkan tarikh perbicaraan yang bermula pada 18 Julai dan beberapa tarikh pada Ogos.
Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi sehubungan itu menetapkan 14 Jun ini bagi pengurusan kes untuk mengemas kini dokumen berkaitan fakta yang boleh dipersetujui kedua belah pihak dan pernyataan bertulis saksi.
Pada prosiding hari ini, Azlan diwakili peguam bela Muhammad Adam Burhanudeen.
Pada 10 April lalu, Azlan yang menjadi menteri Besar Perlis dari Mei 2013 hingga November 2022, mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan membuat tuntutan palsu perjalanan ke luar negara lebih RM1.18 juta antara 2013 dan 2017 mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Jika didapati bersalah, Azlan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan minimum denda lima kali ganda nilai tuntutan.
Azlan kemudian mengaku tidak bersalah terhadap lima lagi pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM1.06 juta yang didakwa diterimanya daripada dua syarikat pelancongan antara 2014 dan 2017.