Ahli perniagaan mengaku tak salah pecah amanah RM4.3 juta

Ahli perniagaan mengaku tak salah pecah amanah RM4.3 juta

Tertuduh Johnathan Wong Futt Po didakwa melakukan kesalahan itu pada 13 April tahun lalu.

Johnathan Wong Futt Po didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan pecah amanah. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan pecah amanah membabitkan nilai RM4.3 juta pada April tahun lalu.

Johnathan Wong Futt Po, 40 membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Sabariah Osman selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah menyalahgunakan wang berjumlah RM4,362,943 milik Syarikat Novel Leap Sdn Bhd untuk kepentingan sendiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara Prestige, Jalan Pinang di sini pada 13 April tahun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksiumum lima tahun, sebatan dan denda.

Sabariah menetapkan 18 dan 19 Julai depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh dibenar ikat jamin RM50,000.

Timbalan Pendakwa Raya Raihanan Abdul Razak mewakili pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Siti Anis Che Abdul Wahab.

Sebelum ini, tertuduh berdepan pertuduhan menipu individu membabitkan pelaburan mata wang kripto berjumlah RM 2.45 juta yang tidak wujud serta menipu seorang lelaki berhubung urusan mendapatkan lesen pelaburan dengan kerugian RM3 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.