
Amirudin memfailkan saman itu tahun lepas selepas Sanusi mendakwa beliau menyalahgunakan kuasanya dengan “bersubahat” dengan ahli perniagaan Vincent Tan untuk memindahkan sebidang tanah negeri Selangor seluas 600 ekar (240ha) bernilai RM10 bilion kepada Berjaya Land Bhd secara percuma.
Sanusi seterusnya mendakwa akibat tindakan itu, kerajaan Selangor mengalami kerugian RM180 juta.
Peguam Haijan Omar, yang mewakili Amirudin, juga berkata mahkamah menetapkan satu lagi pengurusan kes pada 2 Julai di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Rozi Bainon.
Amirudin menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan daripada Sanusi.
Dalam pembelaannya, Sanusi berkata beliau menjawab kenyataan fitnah yang dilemparkan menteri besar Selangor itu terhadap dirinya.
Tambahnya, menjelang PRN di enam negeri Ogos lalu, Amirudin telah membuat beberapa kenyataan menghinanya, menggelarnya “kurang ajar” dan “pengecut”.
Selain Amirudin, Tan dan Berjaya Land juga telah memfailkan saman fitnah terhadap Sanusi kerana didakwa membuat kenyataan berbaur fitnah mengenai projek pelebaran sungai bernilai RM700 juta yang dikenali sebagai Gerbang Maritim Selangor.