Di Sabah, pilihan Umno terhad, kata orang dalam

Di Sabah, pilihan Umno terhad, kata orang dalam

Seorang wakil rakyat Umno berkata, parti itu patut menyertai GRS atau keluar dari Sabah sama sekali.

Zahid Hamidi (kiri) dan Bung Moktar Radin menghadiri mesyuarat di Kota Kinabalu, Sabah pada Ahad lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang Adun Umno Sabah meragui kerjasama dengan Warisan akan memanfaatkan parti itu ketika spekulasi masih timbul berhubung pakatan politik di tengah-tengah perbincangan mengenai PRN awal.

Wakil rakyat yang enggan dinamakan itu berkata, lebih baik Umno bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau keluar dari Sabah sama sekali.

“Sentimen itu kini memihak kepada parti tempatan,” katanya kepada FMT sambil menambah ia tidak membantu Umno Sabah yang berpecah kepada dua puak, iaitu yang menyokong dan tidak menyokong Ketua Menteri, Hajiji Noor.

Pemimpin Umno itu berkata, ini sebabnya beliau percaya Umno perlu berundur jika tidak mahu bekerjasama dengan GRS.

Dengan cara ini, katanya, Umno masih boleh berbaik-baik dan bekerjasama dengan GRS di peringkat persekutuan, seperti persetujuan Umno dengan Gabungan Parti Sarawak.

Beliau berkata, bekerjasama dengan Warisan mungkin tidak memanfaatkan Umno kerana daya tarikan parti itu dalam kalangan orang Sabah sudah merosot dan hanya kuat di beberapa bahagian di pantai timur Sabah.

Penggal kerajaan Sabah akan tamat pada Oktober 2025, tetapi Hajiji memberi bayangan PRN mungkin diadakan lebih awal.

Presiden Warisan, Shafie Apdal dan Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin cuba menggulingkan kerajaan pimpinan Hajiji pada Januari 2023.

Seorang lagi pemimpin Umno Sabah yang enggan dinamakan senada, kerjasama dengan Warisan bukan langkah tepat buat parti itu.

Walaupun sehaluan dengan Bung, katanya, beliau percaya pilihan terbaik Umno ialah bekerjasama dengan GRS.

“Bergerak solo tidak menguntungkan kami. Ada manfaat menyertai gabungan itu (GRS),” katanya sambil menambah jika Umno bersendirian, ia berisiko kehilangan lebih banyak sokongan di Sabah.

Umno menjadi parti dominan di Sabah selama bertahun-tahun, khasnya ketika Barisan Nasional memerintah negeri itu. Pada PRN 2013, Umno memenangi 31 daripada 60 kerusi dipertandingkan ketika itu.

Lebih sedekad kemudian, Umno Sabah hanya menguasai 12 kerusi dan ia berpecah kepada puak yang menyokong Bung dan Hajiji.

Pemimpin Umno Sabah yang bercakap kepada FMT berkata, Presidennya Zahid Hamidi menggesa ahli di negeri itu bekerjasama dengan parti dalam kerajaan perpaduan.

Seorang lagi pemimpin akar umbi Umno Sabah berkata, sokongan untuk Umno mungkin merosot jika ia memilih untuk melawan GRS.

“Ramai pengundi mungkin undi Umno (pada PRN 2020) kerana GRS, tetapi jika kita memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan mereka, kita perlu mengelak daripada menyertai PRN sama sekali,” katanya yang enggan dinamakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.