
Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa kebangsaan induk TMM 2026 kali ke-2 dipengerusikannya hari ini.
Katanya, langkah itu diambil bagi membolehkan Malaysia memperkukuh strategi promosi dan menyesuaikan pendekatan sedia ada dengan perubahan drastik landskap dunia.
“Mesyuarat hari ini bersetuju untuk melanjutkan pelaksanaan TMM 2026 hingga penghujung tahun 2027 dan perkara ini akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk pertimbangan lanjut.
“Keputusan ini dibuat bagi membolehkan Malaysia memperkukuh strategi promosi, menyesuaikan pendekatan dengan perubahan global serta merebut peluang daripada peralihan aliran pelancong antarabangsa,” katanya di Facebook.
Zahid berkata, penyelarasan antara kementerian dan agensi turut diperkasa bagi memastikan setiap inisiatif dilaksanakan secara bersepadu dan berimpak tinggi.
“Kita mahu memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan yang selamat dan diyakini. Kerajaan akan terus memperkukuh sektor pelancongan negara agar terus memberi manfaat kepada ekonomi serta rakyat,” katanya.
Awal bulan ini, satu firma penyelidikan menyatakan kempen TMM 2026 kerajaan mungkin terjejas akibat ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Timur Tengah serta peralihan sentimen global.
Dalam nota penyelidikan, TA Research berkata sasaran besar kempen itu iaitu 47 juta ketibaan pelancong antarabangsa dan RM329 bilion dalam resit pelancongan mungkin terkesan disebabkan cabaran konflik di rantau berkenaan.
Ketegangan di Timur Tengah semakin memuncak sejak 28 Feb selepas Israel dan Amerika Syarikat menyerang Iran, yang kemudian bertindak dengan serangan balas terhadap kepentingan Israel dan AS di negara Teluk.