Tiada tekanan tetapi tak yakin Bersatu, kata penganalisis

Tiada tekanan tetapi tak yakin Bersatu, kata penganalisis

Pemerhati politik berpendapat PN perlu menghantar wakil berjiwa diplomat untuk berunding peruntukan Ahli Parlimen pembangkang.

Azmi Hassan mendakwa keadaan Bersatu yang ketika ini kucar-kacir menjadi punca enam Ahli Parlimennya menyokong Anwar Ibrahim. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Penganalisis politik menolak wujud elemen tekanan oleh kerajaan yang didakwa Menteri Besar Kedah Sanusi Nor sebagai punca enam Ahli Parlimen Bersatu menyokong Anwar Ibrahim.
Hisommudin Bakar.

Bercakap kepada FMT, Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berpandangan tidak berhemah buat ketua pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) itu menyatakan ketiadaan peruntukan sebagai tekanan kerana pembangkang sendiri “menoktahkan” rundingan mengenainya.

Malah, perdana menteri berulang kali menegaskan mengapa perlunya memberikan peruntukan kepada pihak yang mencerca kerajaan dan keperluan untuk berunding.

“Oleh itu, PN perlu menghantar pemimpin berjiwa diplomat untuk berunding kembali dengan kerajaan,” katanya sambil menegaskan isu peruntukan Ahli Parlimen pembangkang boleh dimuktamadkan jika kepentingan rakyat diutamakan kedua-dua pihak.

“Mungkin sebelum ini PN meletakkan harapan kerajaan boleh bertukar, tetapi kini keadaan semakin sukar dengan bertambah lagi sokongan dari Ahli Parlimen Tanjong Karang menyokong PM.”

Semalam, Sanusi mengakui tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu menyokong Anwar kerana “tekanan” dan mendakwa Putrajaya sengaja membiarkan wakil rakyat di kawasan pembangkang “kelaparan”.

Rabu lalu, Ahli Parlimen Tanjong Karang Zulkafperi Hanapi menjadi Ahli Parlimen Bersatu keenam mengisytiharkan sokongan kepada perdana menteri, namun beliau menegaskan masih setia kepada parti itu sambil menyatakan tindakan berkenaan bagi memastikan nasib dan pembangunan penduduk di Parlimennya terus terbela.

Sebelum ini, lima Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Anwar, iaitu Syed Abu Hussin Hafiz (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) serta Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Hisommudin berkata peralihan sokongan itu juga menunjukkan kelemahan penyelarasan di antara Whip PN terutama mengurus rungutan Ahli Parlimennya yang pertama kali menjadi wakil rakyat.

“Ketiadaan alternatif kepada beban pengurusan membabitkan peruntukan menyebabkan keadaan mendesak dan mereka tiada pilihan melainkan meminta bantuan dari kerajaan,” katanya.

Azmi Hassan.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula mengulangi pendiriannya bukan soal peruntukan sebenarnya menyebabkan enam Ahli Parlimen Bersatu mengalih sokongan sebaliknya hilang keyakinan terhadap parti.

“Ini strategi peruntukan tak dapat dimainkan PN termasuk MB Kedah hanya untuk gambarkan mereka masih kuat dan kerajaan pusat tidak adil…hakikatnya ia hanya alasan.

“Mereka hilang kepercayaan kerana Bersatu ketika ini dilihat kucar-kacir, tiada peruntukan hanya muslihat tutup perkara sebenar.”

Mazlan Ali.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia pula menjelaskan menyediakan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang bukan konvensyen di negara ini malah tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Itu budi bicara kerajaan terutama apabila pembangkang memberi kerjasama seperti dilakukan Anwar Ibrahim sewaktu pentadbiran Ismail Sabri,” katanya merujuk kepada perjanjian persefahaman (MoU) transformasi dan kestabilan politik ditandatangani pada 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.