Pimpinan parti sedang dipersoal, Shahril ulas 6 Ahli Parlimen Bersatu sokong Anwar

Pimpinan parti sedang dipersoal, Shahril ulas 6 Ahli Parlimen Bersatu sokong Anwar

Bekas ketua penerangan Umno berkata walaupun dikatakan akses peruntukan menjadi punca namun ia tidak berlaku kepada Ahli Parlimen PAS.

Shahril Hamdan membandingkan kesetiaan wakil rakyat Bersatu terhadap parti, berbanding PAS.
PETALING JAYA:
Keputusan enam Ahli Parlimen Bersatu secara terbuka mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjadi bukti kepimpinan parti itu sendiri sedang dipersoalkan, kata bekas pemimpin Umno.

Shahril Hamdan juga merujuk kepada wakil rakyat PAS yang juga rakan komponen Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) yang masih setia bersama parti mereka.

“Ini perkara yang dari dulu kita cakap tentang PAS. Apa saja, suka ke tak suka, minat tak minat, disiplin dalam PAS itu dan kepercayaan mereka, pegangan mereka kepada parti mereka itu… wala’ itu kuat,” katanya dalam audio siar Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin.

Pada Rabu, Ahli Parlimen Zulkafperi Hanapi menjadi Ahli Parlimen Bersatu keenam menyatakan sokongan kepada Anwar.

Lima wakil rakyat Bersatu lain yang mengambil langkah sama adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Zahari Kechik (Jeli).

Shahril ketika mengulas lanjut, berkata ketiadaan peruntukan kepada Ahli Parlimen juga mungkin menjadi sebab ikrar sokongan diberikan kepada perdana menteri.

Sebelum ini, Anwar tidak membuat sebarang kenyataan umum meletakkan syarat Ahli Parlimen pembangkang perlu menyokong dasar kerajaan untuk mendapat peruntukan, sebaliknya ia mestilah dirunding dengan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Bagaimanapun, Suhaili mengakui ada menerima peruntukan untuk kawasannya selepas isytihar sokongan kepada Anwar, pada 30 Okt.

Sementara itu, Khairy menggambarkan Bersatu “rapuh” memandangkan Ahli Parlimen PAS boleh ‘mendapat bantuan’ daripada kerajaan negeri pimpinan parti itu.

“Bersatu ini dia tak ada kerajaan negeri. So (jadi) dia rapuh sikitlah,” katanya.

Awal hari ini, memetik pemimpin Bersatu enggan dinamakan sebagai berkata, keputusan beberapa Ahli Parlimen parti itu menyokong kerajaan berkemungkinan rasa tidak puas hati dengan keputusan Muhyiddin Yassin membuat pusingan U untuk mempertahan jawatan presiden, pada pemilihan parti itu.

Menurut sumber itu, Ahli Parlimen merasakan parti hilang hala tuju dan mahu pimpinan baharu mengambil alih.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.