
Ketua Polis Hulu Selangor, Ahmad Faizal Tahrim, dalam kenyataan berkata kejadian pada 4.04 petang itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham di antara mangsa dan suspek.
Beliau berkata dalam kejadian itu, suspek disyaki bertindak menikam mangsa di bahagian perut menggunakan sebilah pisau berukuran 26.5 cm.
“Mangsa telah mengalami luka koyakan di perut, cedera di bahu, cedera tangan kiri dan tangan kanan, serta cedera di bahagian kepala dan telah dibawa ke Hospital Selayang,” katanya.
Faizal berkata susulan kejadian itu, seorang suspek wanita berusia 31 tahun yang merupakan rakan kakak mangsa, ditahan di sekitar kawasan kejadian kerana dipercayai terlibat dalam kes berkenaan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata hasil semakan mendapati, suspek tidak mempunyai rekod lampau dan pihaknya akan memohon tahanan reman ke atas suspek di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu pada esok, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Faizal turut meminta masyarakat tampil memberi maklumat kepada pihak polis jika mempunyai maklumat berkaitan kes itu dengan menghubungi IPD Hulu Selangor di talian 03-60641223.