
Nur Mastisha Maidinsha, 39, mengaku tidak bersalah terhadap memperoleh suapan wang tunai RM3,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas anak lelakinya atas kesalahan cabul.
Penolong pegawai penyiasat di Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-kanak Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kuala Lumpur itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah stesen minyak di Batu 9, Cheras, pada 8.05 malam 12 Okt 2022.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atiqah Mohamad Alias memohon mahkamah mengguna pakai jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin bagi kes rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
“Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di ibu pejabat SPRM Putrajaya setiap minggu pertama setiap bulan. Sehubungan itu, kami memohon kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama kes dihadapinya semalam.”
Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membantah permohonan berkenaan.
Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud membenarkan permohonan jaminan dan syarat tambahan serta memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur, selain menetapkan tarikh sebutan di mahkamah itu pada 17 Mac ini.
Semalam di Kuala Lumpur, polis terbabit mengaku tidak bersalah bersetuju menerima suapan RM3,000 daripada lelaki sama sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap anak lelakinya.