
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, berkata sabitan bersalah ke atas bekas perdana menteri itu masih kekal walaupun ada pengurangan tempoh hukuman penjara dan jumlah denda.
“Keputusan Lembaga Pengampunan tidak melepaskan Najib.
“Ini akan dapat mengekalkan semangat dan komitmen kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk meneruskan komitmen mereka dalam membasmi amalan rasuah di negara,” katanya selaku anggota Jawatankuasa Mengenai Rasuah dalam kenyataan.
Bagaimanapun, beliau berkata sesiapa sahaja boleh mempertikai mahupun membahaskan isu pengurangan tempoh hukuman penjara dan juga kuantum denda berkenaan.
“Namun soal teras dan asas yang perlu dilihat ialah Lembaga Pengampunan tetap menghormati keputusan mahkamah bahawa sesungguhnya di atas neraca keadilan Najib adalah bersalah dan sabitan bersalah itu tidak diberikan pengampunan,” katanya.
Terdahulu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bersetuju untuk memendekkan hukuman penjara 12 tahun Najib kepada enam tahun.
Urusetia lembaga itu berkata denda RM210 juta ke atas bekas perdana menteri itu juga dikurangkan kepada RM50 juta.
Pada 28 Julai 2020, Najib disabit oleh Hakim Nazlan Ghazali, yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi, kerana salah guna kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah jenayah dalam kes SRC International, melibatkan dana berjumlah RM42 juta.
Rayuannya di Mahkamah Rayuan ditolak pada 8 Dis 2021.
Najib menjalani hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022 di Penjara Kajang sejurus Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya.
Peguamnya, Shafee Abdullah, sebelum ini berkata petisyen untuk pengampunan Najib pertama kali dikemukakan pada September 2022, dan adendum (penambahan) kepada permohonan itu difailkan pada Oktober tahun sama, serta April 2023.