Hadir atau tidak? PAS tunggu jemputan rasmi kongres ekonomi Bumiputera

Hadir atau tidak? PAS tunggu jemputan rasmi kongres ekonomi Bumiputera

Terdahulu Zahid Hamidi berkata Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 terbuka kepada semua ahli politik termasuk pembangkang.

Ahmad Fahdli Shaari berkata PAS mahu menunggu jemputan rasmi manakala Razali Idris mendakwa pihaknya tiada maklumat berkaitan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024.
PETALING JAYA:
PAS mahu menunggu jemputan rasmi daripada kerajaan sebelum memutuskan sama ada parti itu akan hadir ke Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 pada 29 Feb hingga 2 Mac depan.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari, berkata setakat ini parti itu belum menerima jemputan rasmi untuk menghadiri kongres terbabit.

“Majlis kenduri di kampung pun hantar kad, orang tak buat pengumuman di kedai kopi…kita tunggu jemputan macam mana (sama ada hadir atau tidak).

“Kalau nak buat jemputan macam itu orang kampung lebih cerdik lagi,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi yang persidangan KEB 2024 terbuka kepada semua ahli politik termasuk pembangkang dan menegaskan pemerintah buta warna (politik) dalam soal ekonomi Bumiputera.

KEB 2024 bertujuan mencadangkan hala tuju serta pendekatan baharu agenda pemerkasaan Bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif, di samping akan mencadangkan pendekatan menyeluruh.

Dianggarkan seramai 3,000 peserta termasuk dari Sabah dan Sarawak dijangka menghadiri KEB 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

KEB 2024 dianjurkan Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris berkata pihaknya tidak mempunyai maklumat berkenaan kongres tersebut.

“Kongres apa ini? Siapa yang buat, saya tak baca lagi, saya kena tengok dulu, saya tak boleh jawab lagi,” katanya ketika dihubungi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.