Tambah baik struktur gaji penjawat awam diumum dalam Belanjawan 2025

Tambah baik struktur gaji penjawat awam diumum dalam Belanjawan 2025

Jabatan Perkhidmatan Awam berkata cadangan penambahbaikan itu dijangka diluluskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada awal suku kedua tahun ini.

Penjawat awam di segenap lapisan perkhidmatan masih boleh mengemukakan cadangan penambahbaikan sistem saraan sedia kepada Jabatan Perkhidmatan Awam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Keputusan penambahbaikan sistem struktur gaji penjawat awam dijangka diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2025 tahun ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan memaklumkan cadangan penambahbaikan itu akan dimuktamad dan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri selewat-lewatnya pada awal suku kedua tahun ini untuk kelulusan.

“Penjawat awam di segenap lapisan perkhidmatan masih boleh mengemukakan cadangan penambahbaikan sistem saraan sedia ada meliputi segala aspek perkhidmatan melalui portal semakan saraan yang dilancarkan sejak 7 Ogos 2023 di pautan semakansaraan.jpa.gov.my sebelum 1 Mac 2024,” menurut kenyataan itu.

JPA memaklumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk kajian sistem saraan perkhidmatan awam (JIKSPA) Bilangan 2/2024 yang turut dihadiri Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.

Mesyuarat tersebut membincang dan menimbang inisiatif penambahbaikan dalam kajian sistem saraan perkhidmatan awam (SSPA) terutama berkaitan dengan aspek meningkatkan pendapatan boleh guna penjawat awam.

“Penambahbaikan pendapatan boleh guna penjawat awam merupakan satu daripada fokus dalam pemerkasaan modal insan perkhidmatan awam untuk memangkin peningkatan produktiviti penjawat awam bagi merealisasikan aspirasi Malaysia Madani,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut, perdana menteri turut memberikan penekanan kepada elemen-elemen pembaharuan perkhidmatan awam seperti pendigitalan sistem perkhidmatan, kerjasama strategik yang holistik serta pendekatan keseluruhan negara.

Ia bagi memacu peningkatan kecekapan, keberkesanan dan profesionalisme perkhidmatan awam dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.