
Beliau berkata, masyarakat Cina menganjurkan pelbagai majlis beberapa hari sebelum Tahun Baharu Cina yang disambut pada Selasa lepas, agar ‘saudara-saudara Islam mereka boleh turut menikmati jamuan’.
Umat Islam di Malaysia mula berpuasa pada Khamis lepas.
Menurut Anwar, beliau pernah memaklumkan kepada rakan-rakannya yang berbangsa Cina bahawa beliau tidak keberatan sekiranya majlis Tahun Baharu Cina diadakan pada waktu siang.
“Namun mereka sanggup berbuat lebih untuk membuktikan mereka rakyat Malaysia dan prihatin terhadap perasaan orang lain.
“Jelas adanya sikap hormat-menghormati dan toleransi,” katanya pada majlis berbuka puasa anjuran Kementerian Luar malam ini.
Dalam nada sama, Anwar berkata, ramai yang hadir pada majlis malam ini tidak berpuasa dan hanya menjamu selera setelah umat Islam berbuka puasa.
“Kita jadikan ia sebahagian tradisi kita, tradisi yang merangkul, mengambil kira dan menghormati perbezaan,” katanya.
Anwar seterusnya menegaskan, kelangsungan mana-mana negara, khususnya negara berbilang kaum dan pelbagai agama seperti Malaysia, bergantung pada keupayaan dan kemampuan rakyatnya ‘untuk merangkul satu sama lain sebagai satu keluarga besar’.
Beliau turut menyuarakan kekesalan bahawa perpaduan yang sememangnya wujud dalam kalangan rakyat Malaysia tidak disedari, di sebalik kekecohan yang ditimbulkan oleh segelintir ahli politik, yang hanya berusaha memecahbelahkan rakyat.
Bagaimanapun, katanya, di seluruh negara, sama ada dalam kalangan orang Cina, Melayu, India, Iban mahupun Kadazan, semangat toleransi dan hormat-menghormati itu tetap kental.
“Dan saya rasa kita perlu berusaha untuk pelihara perkara ini,” katanya.