
Tertuduh berusia 38 tahun juga didakwa mengugut untuk membunuh dan melibas parang terhadap isterinya tahun lalu.
Buruh itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua enam pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman.
Mengikut dua pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan kerana merogol anak perempuannya yang berusia 15 tahun.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan juga sehingga 10 sebatan bagi setiap pertuduhan, menurut Kosmo.
Tertuduh juga didakwa bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama.
Lelaki itu juga didakwa melibas isterinya berusia 36 tahun dengan sebilah parang sehingga cedera di lengan kiri.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman itu bawah Seksyen 324 kanun sama.
Tertuduh juga didakwa mengugut kedua-dua mangsa dan seorang anak lelaki berusia 18 tahun selain memaksa mereka mengikat pemuda itu bagi menakutkan remaja berkenaan.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tujuh tahun dan dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Semua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Durian Tunggal pada Jun hingga Oktober lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana mangsa adalah isteri dan dua anak kandungnya.
Tertuduh bagaimanapun tidak mengemukakan rayuan bagi pertuduhan berkenaan. Mahkamah menetapkan 18 Mac ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.