
Sanusi berkata, pihaknya akan cuba mencari jalan merealisasikan hasrat itu supaya rakyat dapat menikmati “beras Kedah” pada harga murah.
“Kita cuba cari jalan untuk wujudkan ‘beras Kedah’ untuk rakyat negeri ini seperti kerajaan Terengganu wujudkan beras Ganu untuk rakyat mereka,” katanya menurut Kosmo.
Beliau ditemui selepas menyertai program berbasikal Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan Menteri Besar (MB) Charity Ride di Merdeka Beach Resort, Sungai Petani.
Sanusi berkata, rakyat Kedah seharusnya berpeluang membeli beras pada harga lebih murah berbanding pasaran berikutan negeri itu menyumbang lebih 40% pengeluaran beras negara.
“Sepatutnya perkara ini dapat dilaksanakan di Kedah sebab kita pengeluar beras tetapi rakyat termasuk golongan petani yang mengusahakan sawah padi pun terpaksa beli beras pada harga mahal.
“Kalau nak laksanakan sekarang mungkin kementerian berkaitan tak benarkan tetapi kita akan cuba cari jalan untuk laksanakan perkara ini,” katanya.