Kastam rampas ‘air zam-zam’ RM1.3 juta

Kastam rampas ‘air zam-zam’ RM1.3 juta

Kastam Kedah berkata ketulenan air itu diragui memandangkan Arab Saudi tidak mengeksportnya.

Pengarah Kastam Kedah Nor Izah Abdul Latiff, berkata 5,000 botol ‘air zam-zam’ itu dipercayai mahu dipasarkan menjelang Ramadan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kastam merampas 5,000 botol kononnya “air zam-zam” bernilai hampir RM1.3 juta yang diseludup melalui Bukit Kayu Hitam, Kedah, dipercayai untuk dipasarkan menjelang Ramadan.

Pengarah Kastam Kedah Nor Izah Abdul Latiff, berkata cubaan membawa masuk barangan itu menggunakan lori kontena dari negara jiran digagalkan, pada Selasa lalu.

Katanya, lori kontena tersebut memasuki negara ini dari Thailand melalui pintu sempadan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan mengikrarkan dagangan sebagai pelembut pakaian.

“Pada Selasa sekitar 11 malam, sepasukan pegawai dari Cawangan Penguatkuasaan Bukit Kayu Hitam bersama pegawai dari Cawangan Import Eksport melakukan pemeriksaan terhadap sebuah lori kontena di Bay Pemeriksaan Import, Blok E, Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.

“Kita menjumpai sejumlah 5,000 botol air zam zam yang tidak diikrar dan tiada permit dengan anggaran 25,000 liter,” katanya menurut Sinar Harian pada sidang akhbar di Alor Setar.

Mengulas lanjut, Nor Izah berkata, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Kementerian Kesihatan mengesahkan tiada pengedar atau syarikat Malaysia diberikan lesen import dan jual air zam-zam.

“Ketulenan air zam zam itu turut diragui memandangkan Arab Saudi tidak mengeksport air zam zam dalam pasaran.

“Air zam zam diklasifikasikan sebagai barang larangan import mengikut Butiran 35, Jadual Ketiga, Item 19 (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.