Gerakan tiada masalah projek ‘PAS for All’ di Selangor

Gerakan tiada masalah projek ‘PAS for All’ di Selangor

Gerakan Selangor berharap slogan itu dapat menangkis persepsi negatif terhadap PAS dalam kalangan orang bukan Melayu Islam.

Gerakan bekerjasama dengan PAS apabila menyertai Perikatan Nasional (PN) pada Feb 2021. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Gerakan tiada halangan terhadap projek “PAS for All” dilancarkan untuk menawan Selangor pada PRU16, sambil menegaskan slogan itu mampu menangkis persepsi negatif dalam kalangan pengundi bukan Melayu Islam.

Ketua Gerakan Selangor Henry Teoh berkata PAS selaku rakannya dalam Perikatan Nasional (PN) selain Bersatu selama ini sering dimomokkan pelbagai persepsi seperti parti ekstrem dan konservatif dilabel oleh DAP.

“Kadang-kala bukan Islam bukan takut dengan PAS tetapi dipengaruhi oleh DAP. Mereka keluarkan dakwaan yang tak wujud,” katanya kepada FMT.

“Gerakan tiada masalah. Harap slogan untuk semua kaum dan agama dibawa PAS dapat hilangkan persepsi itu.”

Beliau mengulas laporan FMT memetik pemerhati politik yang berpendapat slogan “PAS for All” di Selangor hanya akan menambah “ketakutan” pengundi bukan Melayu kepada PAS – yang sebelum ini sinonim dengan sentimen ekstrem dan konservatif, kata pemerhati politik.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata pihak mendapat keuntungan daripada “projek khas” PAS negeri itu sudah tentu Umno, yang sebelum ini tidak disenangi penyokong bukan Melayu Pakatan Harapan (PH).

Ahad lalu, Ketua Penerangan PAS Selangor Zurk Ahmad berkata parti itu yakin akan memimpin Selangor pada PRU16 sekali gus menjadikan negeri itu lebih berdaya saing, dengan pendekatan “PAS for All” merangkumi semua kaum dan agama.

Pada PRN Ogos lalu, Perikatan Nasional (PN) menang 22 DUN kebanyakan di kawasan majoriti Melayu sekali gus menafikan penguasaan dua pertiga gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang menguasai 34 daripada 56 kerusi.

Presiden PAS Hadi Awang ketika merasmikan Muktamar Tahunan PAS ke-69, dua bulan selepas itu mengarahkan anggota parti itu menarik undi bukan Islam pula setelah berjaya menguasai sokongan Melayu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.