
Beliau berkata, Hamzah bukan pemimpin baharu dalam gabungan itu dan berpengalaman dalam PN.
“Kerjasama antara komponen PN termasuk Gerakan, PAS, dan Bersatu telah terjalin lama melalui beberapa pilihan raya sebelum ini,” katanya ketika ditemui di IDEAS Kuala Lumpur sempena Majlis Makan Malam Aidilfitri.
Semalam, Hamzah menegaskan beliau akan kekal bersama PN walaupun dipecat Bersatu, pada Februari lalu.
Ahli Parlimen Larut itu turut membayangkan kemungkinan menyertai ‘rumah baharu’, sama ada melalui penubuhan parti baharu atau menyertai parti sedia ada.
Perkembangan itu berlaku di tengah ketegangan dalaman apabila Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, dilaporkan menolak sebarang kerjasama dengan Hamzah, sekiranya beliau membawa parti baharu menyertai PN.
Dominic berkata, Gerakan mengambil pendirian tidak campur tangan dalam urusan dalaman parti lain dalam gabungan itu.
“Pendirian Gerakan adalah neutral. Kita tidak campur tangan dalam politik dalaman mana-mana parti komponen,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata Gerakan terbuka menerima mana-mana parti yang ingin menyertai PN, namun perlu melalui proses dan perbincangan dalaman sebelum sebarang keputusan dibuat.
Katanya, keutamaan ketika ini adalah memperkukuh perpaduan dalam PN berdepan pilihan raya akan datang.