Nombor plat ‘GOLD 1’ milik Sultan Ibrahim

Nombor plat ‘GOLD 1’ milik Sultan Ibrahim

Yang di-Pertuan Agong menjadi individu pertama membida nilai paling tinggi untuk nombor plat dalam sejarah iaitu RM1.5 juta.

Loke Siew Fook menyerahkan secara simbolik nombor plat ‘GOLD 1’ kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara. (Gambar Instagram)
PETALING JAYA:
Nombor plat keluaran khas ‘GOLD 1’ menjadi milik Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selepas baginda menjadi individu pertama yang membida dengan nilai tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM1.5 juta.

Menurut catatan di Instagram rasmi Sultan Ibrahim, jumlah bidaan tersebut akan disalurkan kepada kerajaan persekutuan.

Terdahulu, Sultan Ibrahim menerima menghadap Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook di Istana Negara.

Pada pertemuan itu, Loke turut mempersembahkan secara simbolik nombor plat kenderaan berkenaan kepada Sultan Ibrahim.

Pada 30 Jan lalu, Loke memperkenal siri istimewa nombor pendaftaran “GOLD” sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan Ke-50.

Loke berkata, tempahan nombor pendaftaran istimewa itu boleh dibuat dalam sistem JPJeBid, bermula 1 hingga 5 Feb lalu.

Menurut Loke, langkah berkenaan membolehkan kementerian itu melaksanakan beberapa inisiatif seperti pemberian topi keledar kepada penunggang motosikal dan sumbangan kepada Perkeso bagi pemandu teksi.

Hasil paling banyak direkod daripada siri nombor pendaftaran kira-kira RM35 juta, diperoleh menerusi tempahan siri “FF” dimana Sultan Ibrahim merupakan pemegang nombor pendaftaran termahal menerusi FF 1, yang dibida pada harga RM1.2 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.