Askar maut lori bawa catuan makanan terbalik

Askar maut lori bawa catuan makanan terbalik

Lima rakannya turut cedera apabila lori dinaiki terbalik dipercayai mengelak kereta dari arah bertentangan.

Keadaan jalan sempit dan bahu jalan tidak berturap menyebabkan lori berkenaan hilang kawalan dan terbabas ke cerun jalan di kawasan ladang kelapa sawit, menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Chien Chunng Tsaur. (Gambar PDRM)
JITRA:
Seorang anggota tentera maut manakala lima lagi cedera selepas lori tentera yang membawa muatan makanan, terbabas sebelum terbalik dalam kejadian di Jalan Kampung Bukit Kechik Changlun, dekat sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Chien Chunng Tsaur berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu, pada 1.30 tengah hari tadi.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori yang dipandu seorang anggota tentera berusia 29 tahun yang bertugas di Kem 5 Rejimen Sempadan Bukit Kayu Hitam, sedang dari arah Kem Askar Wataniah (513 AW) Kepala Batas menghala ke Markas 30 Briged di Kem Bukit Cowder di Perlis.

“Lori berkenaan membawa muatan catuan makanan. Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori itu dipercayai mengelak sebuah kereta yang sedang bergerak dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata keadaan jalan yang sempit dan bahu jalan tidak berturap menyebabkan lori berkenaan hilang kawalan dan terbabas ke cerun jalan di kawasan ladang kelapa sawit.

“Kemalangan itu telah menyebabkan seorang daripada lima penumpang yang berada bahagian belakang lori tersebut mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Chien berkata mayat mangsa yang maut dihantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat, sementara seorang mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama, manakala empat lagi dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.