
Hadhariah Syed Ismail yang mengetuai sidang tiga hakim yang menolak rayuan Taufeeq Mohsein Ahmad Tahir, 38, berkata sabitan terhadap perayu adalah selamat.
Hadhariah membacakan keputusan sebulat suara berkata saksi pendakwaan ke-12 (SP12) dan SP13, yang merupakan anak kepada tertuduh dan si mati adalah saksi mata dan hakim Mahkamah Tinggi membuat dapatan fakta bahawa kedua-dua saksi itu boleh dipercayai.
Mengenai hukuman, hakim itu berkata mahkamah mengguna pakai Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori yang memberi budi bicara kepada mahkamah untuk mengenakan hukuman mati atau penjara.
“Oleh itu, mahkamah mengetepikan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi dan menggantikan dengan hukuman penjara 30 tahun dari tarikh tangkap (7 Julai 2019) dan 12 sebatan rotan,” kata Hadhariah yang bersidang bersama-sama Azman Abdullah dan Azmi Ariffin.
Taufeeq merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Jun 2022 yang menjatuhkan hukuman mati ke atasnya selepas didapati bersalah membunuh Siti Noorasny Md Zain di PPR Desa Tun Razak, Cheras antara 8 malam, 6 Julai 2019 hingga 2.48 pagi, keesokannya (7 Julai 2019), mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, M Manoharan yang mewakili Taufeeq selaku peguam berhujah tiada bukti menunjukkan SP12 dan SP13 melihat kejadian kerana kedua-dua saksi tersebut tidak dapat memastikan apa yang berlaku pada hari berkenaan.
Menurut peguam itu, wujud keraguan serius sama ada kecederaan atau terdapat perkara lain yang menyebabkan kematian si mati berikutan laporan kimia dan bedah siasat jelas menunjukkan terdapat dadah pada darah dan hempedu si mati.
“Si mati adalah penagih dadah dan kemungkinan dadah yang diambil oleh si mati boleh menyebabkan kematian,” katanya yang mengendalikan kes bersama Johan Ariff dan M Hariharan.
Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang pula berhujah bahawa terdapat 51 kecederaan pada si mati dan ia disokong oleh keterangan SP11, iaitu pakar patologi yang melakukan bedah siasat ke atas tubuh si mati.
“SP11 dalam keterangannya berkata corak kecederaan pada si mati disebabkan oleh objek tumpul seperti buluh pelita dan bukan kerana si mati terjatuh sendiri. SP11 berpendapat punca kematian si mati adalah ‘multiple blunt force trauma to the body’,” katanya.
Eyu berkata keterangan daripada SP12 dan SP13, yang merupakan saksi kanak-kanak, menunjukkan bapa mereka memukul, menumbuk, dan menendang si mati.
“SP12 melihat perayu memegang buluh pelita dan memukul si mati dengan buluh pelita itu manakala SP13 melihat bapanya menumbuk dan menendang ibu mereka,” katanya.