
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata sebarang andaian negatif tidak harus dibangkitkan ketika ini tanpa mengambil kira laporan penuh.
“Mana tahu jauh lebih baik atau setanding sama tara dengan pencen.
“Dengar dulu kajian sedang dijalankan itu. Wajar kita tunggu supaya dapat benar-benar sebelum kita buat ‘presume’ atau andaian yang membawa pelbagai andaian negatif,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Alias Razak (PN-Kuala Nerus) yang bertanya sama ada penghapusan skim pencen penjawat awam itu akan menjejaskan usaha mengekalkan pegawai kesihatan dalam kerajaan.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata tawaran gaji, elaun dan imbuhan yang lebih tinggi telah dan akan diperkenal KKM untuk mengekalkan pegawai dan graduan berkhidmat dalam sektor kesihatan awam.
Menurutnya, antara yang boleh menjadi faktor penarik termasuk gaji permulaan pegawai perubatan kontrak gred UD41 yang dinaikkan kepada RM5,197, lebih tinggi berbanding skim perkhidmatan awam lain termasuk Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD).
Katanya, Kementerian Kesihatan juga akan meneliti elaun tugas atas panggilan atau ‘oncall’ dalam lingkungan RM200 kepada RM220 bagi panggilan aktif.
“Bagi panggilan pasif pada RM80 hingga 130. Mahupun pakar oncall dalam lingkungan bayar RM230 hingga RM250 bagi panggilan aktif dan RM100 hingga RM160 untuk panggilan pasif.
“Seterusnya adalah elaun locum yang mereka lakukan selepas waktu pejabat di klinik dan hospital di ETD (Jabatan Kecemasan dan Trauma)… Kita berikan RM80 sejam. Lebih kurang tiga, empat jam mereka kena bertugas,” katanya.
Dzulkefly berkata pegawai perubatan turut menerima elaun insentif kritikal berjumlah RM750, elaun pembedahan RM80 sejam dan pakar pula dibayar RM200 sejam.