
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata baki kuota penggajian pekerja asing yang masih aktif dan dibayar levi, tetapi belum diterbitkan visa dengan rujukan (visa with reference atau VDR) hujung bulan ini, akan dibatalkan dengan bayaran levi kuota dikembalikan kepada majikan.
“Tarikh akhir kemasukan pekerja asing sektor formal baharu dengan VDR adalah 31 Mei,” katanya pada sidang media.
Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin mengumumkan kerajaan membuat penambahbaikan yang signifikan pada dasar dan proses pemulangan levi berkuatkuasa hari ini.
Katanya, majikan kini boleh menuntut pulangan balik bayaran levi pekerja asing selepas tempoh enam bulan sah laku Surat Kelulusan Bersyarat, dengan keseluruhan baki kuota pekerja asing diserahkan semula kepada kerajaan.
Tempoh masa pemprosesan pulangan balik levi bagi permohonan di peringkat kelulusan ketua pengarah imigresen juga dikurangkan sebanyak 47%, iaitu dariapda 53 hari kepada 28 hari.
Manakala tempoh masa di peringkat kelulusan ketua setiausaha KDN dikurangkan sebanyak 51%, iaitu daripada 77 hari ke 38 hari.
Dalam pada itu, Saifuddin mengumumkan program ‘Repatriasi Migran’ yang dilaksanakan sehingga 31 Disember depan memberi pengecualian pendakwaan kepada pendatang asing tanpa izin yang menyerah diri untuk pulang ke negara asal.
Menurutnya, pelaksanaan program ini dikawal selia imigresen tanpa membabitkan pihak ketiga.
“Jika ada mereka yang mahu menggunakan perkhidmatan ejen… lupakan. Kerajaan tidak akan melayan sebarang permohonan dari pihak ketiga atau ejen,” katanya.
Pada masa kini, hanya enam sektor pekerjaan yang dibenarkan untuk mengambil pekerja asing iaitu enam sektor formal yang merangkumi sektor pembinaan, perkilangan, perkhidmatan, perladangan, pertanian serta perlombongan dan pengkuarian, menurut laman KDN.