Kenaikan SST sektor terpilih, redakan impak terhadap rakyat

Kenaikan SST sektor terpilih, redakan impak terhadap rakyat

Pakar percukaian berkata pendapatan hasil cukai menjadi langkah kurangkan defisit bajet dan memacu aktiviti ekonomi.

Farah Rosley dan Veerinderjit Singh yakin peningkatan kadar SST memberi kesan kecil kepada perniagaan dan pengguna.
PETALING JAYA:
Peningkatan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) 2% hanya memberi kesan minimum kepada pengguna dan perniagaan, menurut pakar percukaian.

Mereka menegaskan kadar cukai tambahan akan dikenakan kepada sektor terpilih sahaja, manakala sesetengah perniagaan besar mungkin menampung kos tambahan dengan insentif cukai yang bakal diterima.

Penasihat dasar percukaian kanan KPMG, Veerinderjit Singh, berkata impak kenaikan SST “tidak terlalu ketara” kepada pengguna.

“Sebagai contoh, jika bil pembaikan penyaman udara adalah RM300, bayaran termasuk cukai RM324. Ia tidaklah besar sangat,” katanya.

“Nasib baik peningkatan hanya terpakai kepada beberapa jenis perkhidmatan sahaja,” katanya.

Beliau berkata, makanan dan perkhidmatan telco dikecualikan kenaikan.

Veerinderjit berkata, kadar kenaikan SST disifatkan munasabah. “Namun, kerajaan mesti mencari jalan memastikan peningkatan tidak menekan harga terlalu tinggi,” katanya.

Katanya, RM3 bilion dijangka dikutip menerusi peningkatan kadar cukai berkenaan perlu disalur kepada golongan memerlukan.

Beliau berkata, ia juga boleh digunakan bagi melaksanakan bajet berimbang pada masa mendatang.

“Kerajaan perlu membina pendapatan melalui cukai. Kita sudah bercakap tentang reform percukaian tetapi bagaimana anda mahu melakukan reform tanpa naikkan cukai?” katanya.

Veerinderjit juga memuji langkah kerajaan mengecualikan makanan dan minuman termasuk sektor telco berdepan kenaikan, sambil menekankan semua itu menjadi keperluan.

Katanya, rakyat perlu faham kerajaan perlu menambah pendapatan melalui cukai.

“Jadi, kena terimanya. Kita perlu lebih bijak uruskan bajet,” katanya.

Veerinderjit berkata, kerajaan juga sepatutnya menumpukan kepada pemansuhan cukai bagi transaksi antara perniagaan dan memberikan pemotongan cukai demi mengurangkan impak peningkatan harga.

Beliau berkata, penghapusan “cukai atas cukai” (mengenakan cukai di setiap rantaian bekalan) akan mengekang kesan berganda kenaikan SST dan mengurangkan beban keseluruhan cukai kepada perniagaan dan pengguna.

Veerinderjit berkata, Putrajaya perlu mensasarkan bajet lebihan pada masa hadapan. “Ia akan membantu ketika berdepan situasi luar jangka bagi kegunaan mendesak,” katanya.

Farah Rosley dari EY Malaysia, berkata perniagaan besar sebenarnya mendapat beberapa bentuk insentif cukai.

Beliau antaranya elaun cukai pelaburan bagi perbelanjaan modal.

“Jadi, perniagaan besar mungkin membayar tambahan 2% SST, namun mereka juga mendapat pengurangan, elaun cukai pelaburan dan ‘pioneer incentives’,” katanya.

Farah berkata, tambahan pendapatan perlu hasil kenaikan SST perlu digunakan bagi memacu ekonomi.

Katanya, ia penting terutama ketika ekonomi global dibelenggu krisis.

Bermula semalam, kadar SST dinaikkan kepada 8% berbanding 6%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.