Kosong kerusi, tanding semula jika ‘anak jantan’, Ahli Parlimen Bersatu dicabar

Kosong kerusi, tanding semula jika ‘anak jantan’, Ahli Parlimen Bersatu dicabar

Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris mencabar Ahli-ahli Parlimen terbabit mengosongkan kerusi tanpa perlu menunggu keputusan mahkamah.

Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris berkata, mandat harus diserahkan kembali kepada rakyat untuk memilih wakil.
PETALING JAYA:
Bersatu hari ini mencabar beberapa Ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengosongkan kerusi mereka dengan segera tanpa mengharapkan “ihsan politik”.

Ketua penerangan parti, Razali Idris berkata, cabaran itu ditujukan khusus kepada Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) yang pada mulanya bersedia mengosongkan kerusi jika pindaan perlembagaan Bersatu diluluskan.

“Tak perlu nak minta ihsan politik atau tunggu keputusan mahkamah,” katanya kepada FMT.

“Kalau ‘anak jantan’, kosongkan sekarang. Kita uji sekarang. Ini dikatakan pengkhianat sejati, tak tahu malu.”

Beliau berkata demikian susulan penegasan Syed Abu Hussin, Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) semalam bahawa mereka tidak akan mengosongkan kerusi selagi perkara itu tidak diputuskan mahkamah.

Razali juga berkata, sekiranya Ahli-ahli Parlimen berkenaan yakin sokongan rakyat berada di pihak mereka dan bukan parti, mereka patut melepaskan kerusi masing-masing tanpa perlu menunggu keputusan mahkamah.

Mandat harus diserahkan kembali kepada rakyat untuk membuat keputusan, katanya.

“Kalau selama ini (mereka) kata ada penyokong, (mereka patut) letak jawatan (sebagai Ahli Parlimen),” katanya.

“Tak perlu kecoh-kecoh. Uji kekuatan sendiri. Bertanding atas tiket apa pun, tak ada masalah. Kita nak kerusi parti diserahkan balik pada rakyat.”

Semalam dilaporkan Bersatu meminda perlembagaannya, mewajibkan wakil rakyatnya mengosongkan kerusi jika menyokong parti lawan.

Presiden parti, Muhyiddin Yassin berkata, selaras pindaan perlembagaan parti itu, keahlian Ahli Parlimennya yang mengalih dan akan mengalih sokongan terbatal secara automatik.

Selain Syed Abu Hussin, Mohd Azizi, Suhaili dan Zulkafperi, dua lagi Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada perdana menteri setakat Januari ialah Zahari Kechik (Jeli) dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Awal hari ini, Mohd Azizi berkata, beliau akan mencabar pindaan perlembagaan Bersatu di mahkamah jika ia diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.