
Kadar itu meningkat berbanding dividen simpanan konvensional 5.35% dan syariah 4.75% dibayar pada 2022.
“Alhamdulillah, KWSP berupaya memberikan hasil dividen yang lebih baik berikutan prestasi berdaya tahan pada tahun 2023, dengan ekuiti memainkan peranan penting dalam memacu prestasi keseluruhan.
“Walaupun berdepan ketegangan geopolitik, peningkatan kadar faedah, inflasi, konflik rantau, serta masalah sektor hartanah China, ekonomi global tetap berdaya tahan dan memberikan prestasi di luar jangkaan.
“Ini memberikan pelabur institusi seperti KWSP untuk menguruskan kepelbagaian portfolionya secara aktif dan merebut peluang untuk meningkatkan pulangan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, selepas mengambil kira kadar inflasi, dividen sebenar bagi simpanan konvensional ialah 2.89% dan 2.51% untuk syariah pada asas tiga tahun (2021-2023), melebihi sasaran strategik KWSP iaitu sekurang-kurangnya 2% dividen sebenar dalam tempoh sama.
“Sebagai dana persaraan, adalah penting bagi KWSP untuk memberikan pulangan jangka panjang melebihi inflasi secara konsisten bagi memelihara dan meningkatkan nilai simpanan ahli,” katanya.
Badri berkata, agihan dividen akan memberi manfaat kepada lebih 16 juta pencarumnya.
“Kami meraih pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM67.4 bilion dan pulangan pelaburan kekal konsisten dari tahun ke tahun. Objektif strategi pelaburan KWSP adalah konsistensi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn pada sidang media.
“Sebanyak 53% daripada keseluruhan pendapatan hasil daripada aset asing dan 47% daripada aset domestik,” katanya.
Dalam kenyataan, KWSP berkata bagi 2023, ia merekodkan pendapatan pelaburan keseluruhan RM67 bilion, peningkatan 29% berbanding RM51.9 bilion pada 2022.
Katanya, sejumlah RM5.72 bilion dijana daripada keuntungan mark-to-market (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan dan tidak akan menjadi sebahagian daripada pengagihan dividen.
Badri berkata, aset pelaburan KWSP terus mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak RM1.14 trilion, naik 13% berbanding RM1.003 bilion pada 2022. Peningkatan ini merangkumi pendapatan dijana daripada portfolio dan jumlah caruman diterima pada 2023 berjumlah RM97.56 bilion, naik 15% berbanding RM84.78 bilion pada 2022.
Ketidaktentuan pasaran pada 2023 menekankan kepentingan KWSP mempunyai strategi pelaburan teguh dan pengurusan risiko yang berhemat.
Katanya, gandingan Alokasi Aset Strategik (SAA) dengan pengurusan portfolio yang aktif membolehkannya mencapai keputusan yang baik untuk 2023.
Tahun 2023 menyaksikan prestasi bercampur-campur dalam pasaran ekuiti global.
“Sejak pandemik, dunia mengalami ketidakpastian selama beberapa tahun, dan negara-negara telah mempamerkan daya tahan dan ketangkasan yang sebenar.
“Walaupun berdepan dengan pasaran global mencabar, pendekatan pelaburan KWSP yang berdaya tahan dan fokus terhadap memberikan nilai jangka panjang seharusnya membolehkan ia untuk terus memberikan prestasi yang kukuh di samping dapat mengekalkan komitmen kepada ahlinya,” katanya.