Telegram sedia kerjasama SKMM perkemas kawal selia, kata menteri

Telegram sedia kerjasama SKMM perkemas kawal selia, kata menteri

Menteri komunikasi berkata selain isu kawal selia, teknologi baharu dan kecerdasan buatan turut diberi perhatian.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bertemu Ketua Pegawai Eksekutif Telegram Pavel Durov di Dubai pada Sabtu. (Gambar Facebook)
DUBAI:
Telegram menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), bagi memperkemas aspek kawal selia platform berkenaan terutama dalam membanteras aktiviti scam dan judi dalam talian, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, perkara itu disampaikan pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Telegram Pavel Durov, dalam pertemuan di sini pada Sabtu, bagi membincangkan isu berbangkit melibatkan platform media sosial itu yang mempunyai kira-kira 15 juta pengguna di Malaysia.

Fahmi berkata, selain isu kawal selia platform berkenaan, perbincangan yang berlangsung dalam suasana positif itu turut memberi fokus berkaitan teknologi baharu serta kecerdasan buatan (AI).

“Pavel turut menyatakan minat untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenai beberapa peluang kerjasama dengan kerajaan Malaysia.

“Sehubungan itu, saya juga telah menjemput beliau untuk berkunjung sendiri ke Malaysia, bagi meneruskan perbincangan dengan beberapa pihak terlibat,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri pertemuan itu.

Dalam pada itu, Fahmi berkata Pavel juga menyatakan komitmennya yang bersedia untuk melebarkan sayap operasi ke Malaysia pada masa akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.