CEO telco didakwa tipu berkait kontrak RM47 juta

CEO telco didakwa tipu berkait kontrak RM47 juta

Razain Hashim didakwa menipu pegawai operasi syarikat pembinaan dengan menyakinkannya untuk percaya akan diberi kontrak khidmat kejuruteraan dan pemasangan.

Mahkamah Sesyen Shah Alam menetapkan ikat jamin RM100,000 selepas Razain Hashim mengaku tidak bersalah. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Ketua pegawai eksekutif RD Comm & Network (M) Sdn Bhd mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menipu berkait penganugerahan kontrak berjumlah RM47.25 juta, tiga tahun lalu.

Razain Hashim, 45, didakwa menipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tertuduh didakwa menipu pegawai operasi syarikat pembinaan dengan menyakinkannya untuk mempercayai dia boleh menganugerahkan perkhidmatan kejuruteraan dan kontrak pemasangan ekakutub (monopole) Maxis.

Dia didakwa mendorong mangsa memindahkan RM150,000 dan RM100,000 ke akaun Maybank RD Comm & Network, di cawangan Maybank Taman Putra di Ampang, pada 29 April dan 3 Mei 2021.

Hakim Anita Harun menetapkan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin, selain membenarkan tertuduh membayar RM20,000 hari ini dan baki RM80,000 pada 11 Mac, termasuk memerintahkan Razain melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat setiap bulan.

Anita menetapkan 24 April bagi sebutan semula kes.

SPRM diwakili Aliff Shaharuzaman, manakala T Harpal Singh mewakili tertuduh.

Sebelum ini, waran tangkap dikeluarkan terhadap Razain selepas gagal hadir ke mahkamah pada 28 Feb.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.