Konsert Taylor Swift di Singapura pengajaran mahal buat Malaysia, kata pakar

Konsert Taylor Swift di Singapura pengajaran mahal buat Malaysia, kata pakar

Pemain industri tempatan kesal Malaysia terlepas peluang kerana bintang terkenal AS itu meningkatkan ekonomi Singapura dengan mengadakan enam konsert.

Taylor Swift dalam radar kerajaan selepas ia menandatangani kontrak dengan sebuah syarikat pengurusan venue AS pada 2022 untuk menjadikan Bandar Sukan Kuala Lumpur di Bukit Jalil sebagai hab untuk sukan serta hiburan langsung. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Pakar industri menyifatkan konsert Taylor Swift di Singapura ketika ini sebagai pengajaran mahal buat kerajaan Malaysia kerana ia dapat membantu meningkatkan ekonomi negara.

Presiden Karyawan, Freddie Fernandez berkata, konsert itu bukan hanya memberi rangsangan besar terhadap ekonomi Singapura, tetapi turut meletakkan republik terbabit di peta dunia sebagai destinasi wajib dikunjungi di rantau ini.

Freddie Fernandez.

“Menjelang Tahun Melawat Malaysia pada 2026, kami berharap kerajaan Malaysia tidak akan ketinggalan dan akan memberi sokongan dan galakan penuh terhadap usaha membawa masuk artis antarabangsa terkenal.

“Kerajaan bukan saja perlu menggalakkan mereka (artis antarabangsa) datang dan membuat persembahan di sini, tetapi turut menyediakan dana dan insentif diperlukan yang akan menyaksikan ketibaan pelancong dari rantau ini dan tempat lain.”

Swift sedang mengadakan enam konsert habis dijual di Singapura, destinasi tunggal di Asia Tenggara.

Sebelum ini, kolumnis FMT, Frankie D’Cruz mendakwa Taylor Swift dalam genggaman Malaysia pada 2022, tetapi terlepasnya kepada Singapura setahun kemudian.

Katanya, Swift dalam radar kerajaan Malaysia selepas ia menandatangani kontrak dengan sebuah syarikat pengurusan venue AS pada 2022 untuk menjadikan Bandar Sukan Kuala Lumpur di Bukit Jalil sebagai hab untuk sukan dan hiburan langsung.

Tetapi, perjanjian itu tidak dijadikan kelebihan apabila Anwar Ibrahim dilantik perdana menteri selepas PRU15 dan peranan syarikat AS itu dikurangkan kepada perunding untuk mengoptimumkan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Semalam, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dilaporkan berkata, insentif yang diberikan kepada Swift untuk menjadikan Singapura satu-satunya persinggahan Asia Tenggara dalam jelajah dunianya bukan tindakan bermusuhan dengan negara jirannya.

Republik itu sebelum ini berkata, ia memberikan geran kepada Swift untuk membuat persembahan di sana, tanpa menyebut terma perjanjian itu – pengumuman yang menjengkelkan negara lain, dengan perdana menteri Thailand berkata, geran itu dibuat dengan syarat Singapura satu-satunya destinasi konsert Swift di Asia Tenggara.

Fernandez berkata, walaupun pihak berkuasa tidak mengendahkan gesaan untuk konsert dibatalkan atau tidak dibenarkan, publisiti dalam media antarabangsa memberi kesan negatif.

“Kami ingin merayu pihak terbabit berhenti membuat permintaan demikian kerana ia hanya menghalang pertumbuhan industri pelancongan dan seterusnya ekonomi negara.”

Iqbal Ameer.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Livescape, Iqbal Ameer menyifatkan kehilangan peluang untuk menganjurkan konsert Swift pengajaran mahal buat Malaysia.

Beliau merujuk rekod prestasi Livescape dalam menganjurkan persembahan artis di negara ini, dengan pulangan sehingga 20 kali lebih banyak daripada jumlah prapandemi.

“Ternyata kerajaan Malaysia mengiktiraf potensi ekonomi acara langsung sedemikian.”

Iqbal menggesa penubuhan majlis pelaburan terdiri daripada Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan, GLC serta pemain industri yang boleh mengenal pasti dan menilai peluang dengan cepat serta memudahkan pelaksanaannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.