TPM jangka tekanan harga barang dalam tempoh 2 bulan

TPM jangka tekanan harga barang dalam tempoh 2 bulan

Fadillah Yusof berkata 'stok barangan akan datang dengan harga yang baharu' susulan peningkatan bahan api dan kos kapal terbang.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, berkata proses pemulihan bekalan tenaga global dijangka ambil masa panjang berikutan kemusnahan terhadap fasiliti penapisan minyak, sekali pun perang di Timur Tengah berakhir. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Rakyat akan mula merasai tekanan harga barang dalam tempoh dua bulan mendatang kesan peningkatan kos bahan api, logistik, dan insurans akibat konflik di Timur Tengah.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, berkata ketika ini tekanan itu kurang dirasai memandangkan ‘stok barangan tempatan dalam negara masih ada’.

Katanya, kenaikan harga dijangka berlaku apabila ‘stok-stok baharu akan datang’.

“Jadi, sebab itu kos petrol, diesel, minyak, dan kapal terbang akan naik…di mana kita akan dapat merasai kelak sebab kos logistik dan insurans juga meningkat.

“Kesannya mungkin dapat dirasai dalam dua bulan yang akan datang sebab masa sekarang, stok barangan tempatan kita yang ada dalam negara masih ada.

“Tapi lepas ini, stok-stok baharu akan datang dengan harga yang baharu,” katanya menurut Utusan Borneo, di Kuching.

Fadillah menjelaskan, meskipun konflik perang Amerika Syarikat-Israel dengan Iran berakhir, proses pemulihan bekalan tenaga global dijangka mengambil masa panjang berikutan kemusnahan terhadap fasiliti penapisan minyak.

Katanya, sekurang-kurangnya enam bulan diperlukan untuk memulihkan bekalan tenaga global pada tahap 50%, manakala pemulihan sepenuhnya boleh mencecah sehingga setahun.

Fadillah berkata, Malaysia ketika ini berada pada kedudukan lebih baik berbanding beberapa negara Asean, namun langkah berjimat cermat tetap perlu dilaksanakan sebagai persediaan berdepan ketidaktentuan.

Beliau berkata, di Filipina, lebih 400 stesen minyak dilaporkan telah ditutup sehingga memaksa pelaksanaan pencatuan bahan api, manakala Indonesia dan Thailand turut mengambil langkah sama.

Justeru, katanya kerajaan turut memperkenalkan langkah penjimatan tenaga bagi memanjangkan tempoh rizab tenaga negara.

“Langkah ini penting bagi memastikan bekalan tenaga dapat bertahan lebih lama, terutama jika konflik berlarutan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.