Malaysia, Jerman gesa gencatan senjata kekal di Gaza

Malaysia, Jerman gesa gencatan senjata kekal di Gaza

Anwar Ibrahim dan Canselor Jerman, Olaf Scholz berkata, pembebasan tawanan serta bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin perlu disegerakan.

Anwar Ibrahim bersama Olaf Scholz memeriksa barisan kawalan kehormat tentera Jerman pada Majlis Sambutan Rasmi sempena lawatan rasmi enam harinya di Federal Chancellery hari ini. (Gambar Bernama)
BERLIN:
Malaysia dan Jerman menggesa gencatan senjata kekal di Semenanjung Gaza, selain pembebasan tawanan dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin disegerakan.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Canselor Jerman, Olaf Scholz ketika membuat gesaan itu berkata, komuniti antarabangsa perlu merealisasikan penyelesaian dua negara bagi menoktahkan konflik berlarutan selama beberapa dekad di timur tengah.

“Kadangkala kita berbeza pendapat, namun saya rasa dalam isu seperti peperangan di Gaza, kita mencapai kata sepakat bahawa gencatan senjata perlu dilaksanakan segera, manakala bantuan kemanusiaan disalurkan kepada rakyat Palestin,” katanya pada sidang akhbar bersama Scholz.

Terdahulu, Anwar yang dalam rangka lawatan rasmi enam hari ke Jerman, mengadakan mesyuarat dua hala dengan Scholz, di mana konflik di Gaza, penyelesaian dua negara serta kesengsaraan rakyat Palestin antara isu dibincangkan.

Anwar berkata, Malaysia mengakui bimbang dengan insiden 7 Okt 2023, ketika konflik antara Hamas dengan Israel bermula, namun merayu masyarakat Eropah dan Jerman khususnya untuk mengambil maklum fakta kekejaman, penindasan dan perampokan ke atas rakyat Palestin berlaku selama berdekad-dekad sebelum itu.

Bercakap isu sama, Scholz berkata, Jerman yang dikenali sebagai sekutu Israel bersetuju dengan Malaysia bahawa gencatan senjata kekal perlu dilaksanakan bagi mencari penyelesaian secara aman dalam krisis di Gaza.

Menurutnya, mereka kini menjalin kerjasama rapat dengan Amerika Syarikat dan negara Arab bagi mengekang peningkatan pertempuran serta mencari penyelesaian kepada krisis itu.

“Saya harap kita akan dapat merealisasikan pelaksanaan gencatan senjata kekal sepanjang Ramadan ini dan pembebasan tawanan oleh Hamas. Ini boleh membawa kepada penyaluran lebih banyak bantuan ke Gaza,” katanya yang gembira Anwar memilih berkunjung ke Jerman pada hari pertama Ramadan dan berbuka puasa dengan delegasi Malaysia.

Ditanya sama ada pertemuan hari ini mampu mempengaruhi pelaksanaan gencatan senjata serta-merta di Gaza, Anwar berkata, kedua-dua negara boleh memainkan peranan masing-masing dalam mencari penyelesaian berhubung perkara itu.

“Jerman mempunyai hubungan baik dengan Israel dan kami mempunyai hubungan sedikit lebih baik dengan Palestin. Satu-satunya penyelesaian ketika ini ialah gencatan senjata kekal, manakala penyelesaian akhir ialah dua negara dan ini boleh dilakukan jika komuniti antarabangsa mempunyai keberanian dan komitmen.”

Mengenai hubungan Malaysia dengan Hamas, beliau berkata, dasar luar negara selama ini konsisten dan merujuk pendirian Malaysia menentang aparteid serta pembersihan etnik.

Katanya, Malaysia mempunyai hubungan dengan sayap politik Hamas, namun menegaskan negara ini tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan militan.

Menurutnya, kekejaman selama berdekad-dekad juga tidak boleh dipadamkan dengan hanya melihat kepada sebelah pihak.

“Penyelesaiannya? Ia bukan sekadar membebaskan tawanan. Ya, ya, saya pernah menyatakan kebimbangan dan meminta mereka dibebaskan. Namun, adakah selepas itu kita akan menyaksikan semuanya dinoktahkan? Bagaimana pula dengan penempatan (yang diduduki penceroboh dari Israel)?” soalnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.