Vendor stoking kalimah Allah tiada lesen bungkus produk, kata exco

Vendor stoking kalimah Allah tiada lesen bungkus produk, kata exco

Exco Johor Mohd Jafni Md berkata Xin Jian Chang Sdn Bhd hanya dibenarkan menjalankan aktiviti stor dan pengedaran kasut sahaja.

Kilang Xin Jian Chang di Batu Pahat, Johor, yang ditutup dan kain rentang memohon maaf berhubung kontroversi stoking kalimah Allah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Syarikat terbabit kontroversi penjualan stoking tertera kalimah Allah tiada lesen untuk aktiviti pembungkusan stoking dan sarung tangan, kata exco Johor.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Mohd Jafni Md Shukor, berkata Xin Jian Chang Sdn Bhd melanggar syarat aktiviti lesen perniagaan yang diluluskan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), lapor Bernama.

“Kilang itu sepatutnya menjalankan aktiviti stor dan pengedaran kasut sahaja.

“Itulah sebab notis membatalkan lesen dan penutupan premis diberikan kepada mereka,” kata Jafni yang dipetik sebagai berkata.

Jafni berkata, sebaik lesen itu dibatalkan sukar untuk syarikat berkenaan mendapatkan lesen baharu kerana mereka mungkin disenaraihitamkan.

“Sukar untuk syarikat itu memohon lesen kembali kecuali mereka menubuhkan syarikat baharu,” katanya.

Katanya, pemilik syarikat perlu membentangkan tindakan penambahbaikan untuk meyakinkan pihak berkuasa tempatan itu untuk menyambung semula lesen mereka.

Terdahulu,  MPBP membatalkan lesen operasi Xin Jian Chang Sdn Bhd kerana melanggar syarat aktiviti lesen perniagaan yang diluluskan iaitu stor dan pengedar kasut.

MPBP dalam kenyataan berkata, tindakan itu selaras peruntukan Undang-Undang Kecil 13(2) dan Undang-Undang Kecil 49 (2), Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPBP) 2016.

Bagaimanapun, Xin Jian Chang dalam kenyataan memaklumkan MPBP hanya memberi notis dengan tempoh 30 hari dari 20 Mac untuk mengemukakan pernyataan bertulis sebelum sebarang keputusan dibuat berkenaan lesen itu.

“Oleh itu, lesen perniagaan kami masih sah sehingga majlis mempertimbangkan pernyataan bertulis kami,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.